SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya, dekat sini dengan nama Jalan Professor Khoo Kay Kim.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Sultan Sharafuddin memberi perkenan untuk penamaan semula jalan tersebut bagi mengenang segala jasa dan bakti mendiang tokoh sejarawan itu kepada negara.
“Kehilangan tokoh sejarawan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pada 28 Mei lepas meninggalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya penglibatan mendiang dalam merangka Rukun Negara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara pasca peristiwa 13 Mei 1969.
“Sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar mendiang adalah dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad ke-19. Karya-karya utama mendiang seperti ‘The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics’ telah menjadi kanun dalam penulisan sejarah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Amirudin, di samping tugas mendiang sebagai sarjana di Universiti Malaya, Khoo juga adalah seorang intelektual awam yang terlibat aktif dalam memberikan pandangan tentang politik dan isu-isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan juga bidang yang sangat diminati sejarawan itu iaitu sukan bola sepak.
Pada Mei lepas, ahli akademik berusia 82 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini, akibat jangkitan paru-paru.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri menetapkan bahawa semua papan tanda jalan di Selangor akan menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya.
“Ini selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
“Perihal ini turut mendapat perhatian Tuanku Sultan Selangor yang telah memberi titah dan nasihat agar kerajaan negeri memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menetapkan hanya Bahasa Malaysia digunakan dalam papan tanda rasmi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Tegas Amirudin, pendirian kerajaan negeri itu adalah selaras dengan komitmen Pakatan Harapan yang komited mempertahankan beberapa teras utama Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Baru-baru ini, media melaporkan masih wujud papan tanda jalan dwibahasa di Tanjong Sepat, dekat sini biarpun Sultan Sharafuddin pernah menitahkan pada tahun lepas supaya hanya papan tanda jalan berbahasa Malaysia diguna pakai di negeri berkenaan.
-- BERNAMA