Khamis, Julai 04, 2019

DAFTAR BELIA 18 TAHUN SEBAGAI PENGUNDI SECARA AUTOMATIK

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen dari blok pembangkang bersedia menyokong usul kerajaan bagi pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun sekiranya dua saranan yang dikemukakan mereka, dipenuhi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat pertama adalah pindaan itu harus merangkumi peruntukan untuk membolehkan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun didaftar sebagai pemilih secara automatik.

Selaras dengan itu, kerajaan perlu meminda Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun pada ketika ini.

"Sekiranya pihak kerajaan memilih untuk membuat pindaan iaitu warganegara berumur 18 tahun boleh daftar sebagai pengundi secara automatik dan 18 tahun boleh jadi calon, maka kita akan sokong.

"Kalau tak buat kita tak setujulah dengan pindaan yang akan dibentang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail, sekiranya dua cadangan itu tidak terkandung dalam pindaan yang dibentangkan kerajaan, Anggota Parlimen pembangkang akan mengemukakan usul persendirian bagi meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan.

Usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan itu dijangka dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman esok (4 Julai) dan sekiranya diluluskan, membolehkan lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pendidikan tinggi layak mengundi pada pilihan raya akan datang.

Pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Anggota Parlimen untuk diluluskan.

-- BERNAMA