Jumaat, Mei 31, 2019

LEBIH BANYAK FILEM ANIMASI TEMPATAN PERLU DITERBITKAN

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Lebih banyak filem animasi tempatan perlu diterbitkan dalam usaha menembusi pasaran filem di peringkat antarabangsa, kata Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas) Datuk Gerald Hans Isaac.

Beliau menggesa syarikat-syarikat produksi filem tempatan memanfaatkan industri animasi kerana ia semakin menjadi pasport segera untuk menerobos ke pasaran antarabangsa.

“Filem-filem animasi boleh memasuki pasaran banyak negara dengan pelbagai bahasa, faktor bahasa bukan lagi menjadi isu, contohnya seperti filem “Upin dan Ipin”.

“Saya harap syarikat-syarikat produksi filem kita akan dapat mencipta laluan untuk menembusi pasaran negara-negara seperti China, Eropah, Amerika Syarikat dalam usaha mencapai pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu majlis pengumuman mengenai perkongsian pemain industri antara KRU Animation Studios dan KidZania Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Presiden dan CEO Kumpulan KRU Entertainment Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad.

KRU turut menjemput 30 kanak-kanak yang tidak bernasib baik dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad yang mendapat sumbangan 'duit raya' dan hadiah penghargaan sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Menerusi perkongsian ini KRU akan memperkenalkan studio animasi mereka di KidZania dalam usaha meningkatkan pengetahuan berhubung industri animasi di kalangan generasi muda.

Golongan muda yang berkunjung ke KidZania akan dapat mempelajari proses membuat filem animasi, termasuk dari segi penyediaan jalan cerita, mencipta karekter dan melajar membuat ‘voice over’.

KRU turut menawarkan program yang dinamakan AfterClass bagi pelajar pr-sekolah dan pelajar sekolah rendah bagi meningkatkan minat mereka dalam seni dan produksianimasi,yang akan banyaka membantu semasa mereka menyertai industri itu di masa akan datang.

-- BERNAMA

Khamis, Mei 30, 2019

PKBM PERCAYA KERAJAAN AKAN BERLAKU ADIL KEPADA KONTRAKTOR BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia percaya kerajaan Pakatan Harapan akan berlaku adil kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormatnya, Datuk Mokhtar Samad berkata walaupun kerajaan masih belum memutuskan berhubung kuota kepada kontraktor Bumiputera dalam projek tersebut, persatuan optimis nasib dan masa depan kontraktor Bumiputera akan dibela dan tidak diabaikan.

“Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan akan terus memberi layanan istimewa kepada kontraktor Bumiputera sudah cukup melegakan.

“Ahli persatuan menanti dengan penuh harapan akan keputusan kerajaan kelak berkaitan kuota untuk kontraktor Bumiputera. Pastinya keputusan terbaik akan dibuat demi kepentingan semua pihak terlibat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mokhtar berkata anggota persatuan seramai 42,000 itu bersedia sepenuhnya jika diberi kuota khas dan peluang terlibat dalam projek mega tersebut dari segi kerja-kerja teknikal, mekanikal dan sivil yang pastinya akan mendapat perhatian kerajaan untuk sama-sama terbabit membangunkan platform pengangkutan baharu itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata kerajaan akan terus memberikan layanan istimewa kepada kontraktor Bumiputera termasuk dalam projek ECRL walaupun ia masih belum memutuskan lagi berhubung kuota.

“Saya ingin jelaskan bahawa sistem lama memberikan layanan istimewa (kepada kontraktor Bumiputera) masih ada dan ia berterusan termasuk tender yang dirundingkan. Tender terbuka masih akan dirundingkan tetapi (hanya) dalam kes tertentu,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media.

Pada Ahad dilapor Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia meminta kerajaan Pakatan Harapan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bahagian kerja tempatan dalam projek ECRL kepada kontraktor Bumiputera.

Mengikut perjanjian tambahan baharu dimeterai pada 12 April, Dr Mahathir berkata China Communications Construction Co Ltd (CCCC) bersetuju untuk memastikan 40 peratus daripada kerja awam diberikan kepada kontraktor tempatan.

-- BERNAMA

Rabu, Mei 29, 2019

KAMI PERGI JIKA KAMI DIARAH PERGI



IPOH 27 Mei - Naib Pengerusi DAP negeri, Dr. Abdul Aziz Bari menegaskan berdasarkan pengetahuannya tiada perubahan melibatkan lima exco kerajaan negeri dari partinya seperti yang didakwa.



Sehubungan itu, Abdul Aziz menjangkakan kedudukan portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri akan kekal seperti ketika ini.


Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu mengakui beliau tidak mengetahui maklumat lanjut mengenainya kerana perkara itu ditentukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta kepemimpinan Pakatan Harapan.

“Kami berada di sini sebagai mewakili rakyat setelah diberikan mandat. Sudah tentu apabila melibatkan pelantikan, ia ditentukan oleh parti masing-masing.

“Kami semua memahaminya, jadi apabila mereka mengatakan kami pergi, kami pergi. Kami merupakan pemain satu pasukan. Jadi, tunggu sahajalah, tak perlu spekulasi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memasak bubur lambuk anjuran Jabatan Pendidikan Perak di sini hari ini.

Ahad, Mei 26, 2019

MENANGANI ISU MATRIKULASI DENGAN LEBIH BERHEMAH


oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN


Semuanya terpulang pada minda masyarakat hari ini. Sesuatu yang positif jika sentiasa dilihat sebagai negatif, maka semuanya akan terus dianggap sebagai sesuatu yang tidak akan mendatangkan kebaikan.Sebenarnya tidak ada salahnya untuk kita mengkritik akan apa-apa dasar atau isu, namun ianya perlu dilihat pada isu itu semata-mata dan jangan ditambah asam garamnya dengan berlaukkan sentimen perkauman.

Baru-baru ini, Jemaah menteri telah membuat keputusan untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan daripada 25,000 tempat kepada 40,000 tempat, tetapi masih mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera. Perlu dingatkan juga bahawa Program matrikulasi yang merupakan kursus pra-universiti ke universiti awam bukan satu-satunya kaedah untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.




Perkembangan yang berlaku ini ekoran daripada saranan beberapa pihak yang mahu kerajaan membuka lebih banyak tempat dalam program matrikulasi kepada pelajar bukan Bumiputera. Itu sebabnya perkembangan itu boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana ianya menguntungkan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera.



Apa yang pasti, dengan pertambahan bilangan tempat daripada 25,000 kepada 40,000 kepada bukan Bumiputera, seharusnya telah memberi peluang yang lebih luas kepada semua kaum untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi. Ini merupakan sesuatu perkembangan yang positif.

Menteri Pendidikan ,Maszlee Malik telah mempertahankan program matrikulasi yang dilihat memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera bagi menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu di mana majikan lebih memilih pekerja yang mahir berbahasa Mandarin.

Kenyataan ini telah mendapat tentangan daripada beberapa pihak. Para pengkirtik menggesa Maszlee Malik supaya jangan merumitkan isu ini dengan mengaitkannya dengan isu lain seperti peluang pekerjaan. Bahkan ada pihak yang turut meminta Maszlee meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan dengan mengaitkan kenyataan Maszlee dengan beberapa isu lain yang tidak ada kena mengena dengan isu matrikulasi. Mereka tidak yakin Maszlee berupaya memikul tanggungjawab yang besar sebagai Menteri Pendidikan.

Sungguhpun begitu, tidak kurang juga yang memuji dan menyokong kenyataan Maszlee. Ramai yang berpendapat bahawa Program Matrikulasi masih perlu diteruskan selagi berlakunya ketidakadilan dan ketidakseimbangan dari sudut peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa keputusan yang dibuat oleh Jemaah menteri itu adalah salah satu usaha negara untuk mencapai agenda nasional iaitu memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi melalui wadah pendidikan terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan profesional.




Dalam salah satu artikel yang disiarkan secara online, terdapat beberapa kajian yang dilaksanakan yang mana, hanya 4 peratus daripada pemohon-pemohon kerja dari kalangan bangsa Melayu dan India dipanggil untuk temuduga di sektor swasta , berbanding 25 peratus untuk kaum lain dengan kelulusan yang sama.




Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Asma juga telah menekankan bahawa , Pendidikan dan peluang pekerjaan sememangnya saling bersangkutan dan inilah adalah hakikat sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Beliau menegaskan lagi bahawa, tekanan berlaku dalam pelbagai sektor yang selama ini tidak berani didedahkan oleh kita semua.




Beliau juga telah menekankan bahawa sistem pendidikan kita harus menjadi alat perpaduan utama, yang memperkasa masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, serta menjadikan kepelbagaian ini sebagai kelebihan untuk diraikan dan dilestarikan demi kelangsungan negara pada masa hadapan.

Tidak ada salahnya untuk kita terus berbincang tentang isu ini. Namun peru diingatkan juga bahawa perdebatan dan pertikaian isu ini mungkin boleh memberikan kesan dan menjejaskan tumpuan warga pendidik untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan,




Apa yang penting ialah membincangkannya dengan fikiran yang terbuka. Pada masa yang sama juga kita jangan lalai pada matlamat dan isu yang lebih luas dan penting iaitu untuk memperbaiki lagi sistem pendidikan kita hingga ke tahap yang boleh dibanggakan.



Jumaat, Mei 24, 2019

BERI ZAKAT DALAM BENTUK BUKU PULAK IDEA DR MASZLEE

PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Agensi-agensi zakat perlu melangkah ke hadapan dengan tidak hanya memberi bantuan dari segi kewangan dan makanan, tetapi juga membantu meningkat taraf pendidikan anak-anak asnaf melalui pengagihan buku-buku ilmiah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Melancarkan program Zakat Semarak Ilmu di sini hari ini, Maszlee berkata bantuan dalam bentuk buku-buku, secara tidak langsung akan membantu golongan tersebut membina cita-cita untuk keluar dari kelompok kemiskinan.

"Mereka melabur untuk pendidikan, sekali gus melabur untuk masa hadapan negara yang lebih cerah," katanya ketika berucap melancarkan program itu.

Program Zakat Semarak Ilmu digerakkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Pungutan Zakat dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia akan mengagihkan sumbangan daripada zakat dalam bentuk buku.

"Usaha sebegini juga wajar diuar-uarkan, agar ia menjadi satu bentuk galakan kepada pembayar zakat untuk sekurang-kurangnya mengetahui ke mana hasil kutipan zakat disalurkan, bukan sahaja dalam bentuk makanan dan wang malah turut melibatkan pemberian buku untuk manfaat ilmu yang berpanjangan," katanya.

Maszlee berkata sumbangan yang sama juga patut diberikan kepada golongan bukan Islam dalam kalangan kumpulan B40.

"Golongan B40 ini melibatkan semua tidak mengira bangsa atau agama, dan roh zakat itu adalah membantu hatta kepada bukan Islam sekalipun," katanya.

Pada program hari ini, seramai lebih 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Putrajaya dan Kuala Lumpur bakal mendapat manfaat dengan pengagihan buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia bernilai RM700,000.

-- BERNAMA

Khamis, Mei 23, 2019

SURAU AL UZMA BAWA FAKIR MISKIN, IBU TUNGGAL, ANAK YATIM DAN ORANG KURANG UPAYA MEMBELI BELAH DI MYDIN









SEMENYIH: Surau Al Uzma di Fasa 9 Bandar Tasik Kesuma di sini mencatat sejarah kerana membawa 20 orang fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak yatim membeli belah hari raya di Mydin Supermarket di Seremban 2.

Bas rombongan yang membawa 40 orang termasuk urusetia bertolak ke  Seremban 2 pada jam 9 pagi semalam sempena cuti Nuzul Quran diketuai Pengerusi Surau, Ustaz Emre Abdul Razak

.Selama tiga jam mereka membeli belah di Mydin yang mana setiap orang diperuntukkan RM200 manakala fakir miskin penerima asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendapat peruntukan sebanyak RM500.

Inilah kali pertama Surau Al Uzma membawa mereka membeli belah sempena hari raya. Ustaz Emre mengucapkan terima kasih kepada para penduduk Fasa 9 yang memberi sumbangan sehingga berjaya melaksanakan program ini.

"Insya Allah tahun depan kita dapat lebih ramai penaja," katanya sambil mengucapkan terimakasih kepada pihak Mydin yang memberi diskaun kepada para peserta.

Isnin, Mei 20, 2019

BUANG PERSEPSI NEGATIF TENTANG PERJUANGAN MELAYU


Oleh Shahbudin Haji Embun


Benarkah untuk mewujudkan Malayia Baru yang lebih progresif memerlukan kelahiran generasi Melayu baru yang lebih terbuka mindanya? Bagaimana pula apabila perjuangan bangsa Melayu yang mempertahankan jatidiri dilabelkan sebagai rasis oleh beberapa pihak? Dan mengapa ada pihak yang mempersalahkan bangsa Melayusebagai penghalang kepada pembentukan sebuah negara yang lebih demokratik , profgersif dan aman?

Tidak cukup dengan itu, bagaimana pula dengan keluhan serta rintihan orang Melayu tentang kemajuan ekonomi bangsa mereka juga dianggap sebagai rasis? Adakah orang Melayu tidak boleh mempertahankan jatidiri mereka sendiri.?

Ini adalah antara beberapa persoalan yang sering dibincangkan apabila kita merungkai tentang generasi melayu hari ini serta cabaran yang bakal ditempuh oleh generasi ini pada masa akan datang.

Kita tidak boleh menafikan bahawa perpaduan bangsa antara semua kaum di Malayia memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah negara yang aman dan pada masa yang sama begitu progresif menuju cita-cita dan wawasan negara. Perpadua antara semua kaum merupakan satu pegangan yang tidak boleh dikompromi.

Pada masa yang sama juga bangsa Melayu perlu sentiasa bangkit selaras dengan arus pembangunan yang sentiasa pesat membangun. Pemikiran harus lebih terbuka dan generasi hari ini perlu lebih banyak berfikir di luar kotak dan melihat dari mata burung dan bukannya hanya duduk senang lenang di bawah tempurung dan berpuas hati melepak di zon selesa. Kita bangga melihat kejayaan anak bangsa yang berjaya menerokai pelbagai bidang yang boleh memajukan bangsa itu sendiri.

Namun kita juga harus sedar, tidak ada salahnya juga jika masih ada pihak yang terus mempertahankan hak bangsa Melayu yang dilihat tercabar dan tergugat dalam beberapa perkembangan yang berlaku pada hari ini.

Contohnya apabila dikhabarkan yang Akta Hasutan akan dihapuskan. Perkara ini telah menarik perhatian umum dan antara yang menentangnya telah memberikan alasan bahawa jika akta ini dihapuskan, maka telah membuka ruang dan peluang untuk mempertikai dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu termasuklah juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Secara tidak langsung, imuniti yang ada pada hak istimewa orang Melayu akan tergugat. Jadi, adakah satu kesalahan jika ada pihak yang mempertahankan hak istomewa ini? .Dan mengapa pihak ini dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan serta keharmonian sesuatu negara itu.

Mereka hanya cuba mempertahankan hak yang telah lama wujud dan . Ini tidak bermakna yang kumpulan ini bencikan keamanan , kesejahteraan serta keharmonian yang wujud antara semua kaum di Malaysia. Janganlah disebabkan mereka merintih bahkan bersuara lantang sekalipun dianggap sebagai penghalang kepada kesejahteraan dan keamanan yang sentiasa dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Apabila bangsa Melayu bersatu padu antara NGO atau antara parti pun, bukanlah bermakna yang mereka ini golongan ekstrimis yang hanya berjuang untuk kepentingan bangsa Malayu sahaja. Golongan ini juga cintakan keamanan dan walaupun suara suara protes sentiasa kedengaran , namun ini juga sebagai satu peringatan kepada generasi bangsa Melayu akan datang betapa pentingnya jati diri dan supaya jangan lalai dengan arus kemodenan yang boleh menjerat mereka jika ianya tidak dikawal. Itu sebabnya jati diri yang kuat merupakan benteng yang dapat menghalang generasi muda Melayu daripada dihanyutkan dengan budaya Barat yang boleh menghayalkan kita.

Adalah penting juga diingatkan kepada para pemimpin Melayu dari semua sektor dan juga ahli-ahli politik Melayu supaya jangan terlalu sibuk mengejar kuasa dan kemewahan hingga meminggirkan sendiri nasib anak bangsa yang masih ada merempat di tanah sendiri. Janganlah hanya pandai memberikan pelbagai teori dan ucapan yang bersemangat tetapi tidak melaksanakan agenda yang akan memperkasakan bangsa Melayu itu khasnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.



Persepsi tentang Melayu yang mempertahankan jati diri dan hak bangsa Melayu sebagai rasis dan tidak bergerak mengikut perededaran zaman perlulah dikikis. Buktikan bahawa jati diri Melayu yang kuat merupakan asas kepada perjuangan yang akan sama-sama berjuang dengan bangsa lain membentuk sebuah negara Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian. .

Ahad, Mei 19, 2019

PENGASAS DNARS SKINCARE DIKEBUMI MALAM TADI

TUMPAT, 18 Mei (Bernama) -- Jenazah pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit Luar dekat Wakaf Bharu, di sini, kira-kira pukul 10 malam tadi.

Kira-kira 300 penduduk termasuk sanak saudara Allahyarham turut hadir pada majlis pengebumian dan selesai sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu jenazah Allahyarham diiringi suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, tiba dari Hospital Pattani di rumahnya pada pukul 6.10 petang sebelum dimandi dan dikafankan.

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal ketika ditemui memberitahu beliau dan isterinya bertolak ke Hatyai kerana ada urusan yang mahu dilakukan oleh arwah.

Beliau berkata, dia mengambil keputusan untuk memandu sendiri kenderaan berikutan pemandunya terpaksa mengambil cuti kerana isteri terlalu sarat mengandung.

"Ketika kejadian arwah tertidur di sebelah saya. Dalam perjalanan saya hanya tersedar apabila isteri terkejut dan dalam beberapa saat menyedari sudah berlaku kemalangan.

Ketika itu saya baru tersedar sudah melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan dan mendapati isteri saya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun ketika mengerjakan umrah sebelum ini isterinya ada bertanyakan soalan...boleh bayangkan ke kalau selepas ini pergi umrah berseorangan

Katanya persoalan itu agak pelik kerana diucapkan arwah tetapi langsung tidak membayangkan isterinya itu bakal meninggalkan mereka sekeluarga di bulan Ramadan ini.

Dalam tragedi pukul 10.30 pagi tadi pengasas produk kecantikan itu maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki bersama suaminya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani, Thailand

Difahamkan, ketika kejadian mereka suami isteri dalam perjalanan menyerahkan wang zakat ke salah sebuah sekolah pondok di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

Sabtu, Mei 18, 2019

PENGAJARAN DARI PRK SANDAKAN




OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN




Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan baru-baru ini.Kemenangan DAP ini juga dibantu oleh usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang tidak mengenal erti penat dan telah bersama-sama turun berkempen setiap hari tanpa mengira hujan atau panas.

Daripada kajian yang dilakukan oleh beberapa penganalisis politik, mendapati bahawa pengundi di Sandakan lebih mementingkan isu tempatan dan lebih teruja dengan janji-janji dari kerajaan negeri Sabah untuk terus membawa perubahan dan membangunkan Negeri di Bawah Bayu ini, agar lebih makmur dan maju supaya semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati kesenangan yang dijanjikan. .

Mungkin itu sebabnya sebarang isu yang dikaitkan dengan agama dan bangsa sebagaimana yang sering dijadikan isu di Semenanjung Malaysia tidak akan berjaya di Sabah.

Walaupun dalam PRK Sandakan, UMNO dan PAS masih menghantar wakil bagi membantu calon dari PBS, namun masih gagal dan tidak mampu menandingi kombinasi Warisan, DAP dan beberapa lagi wakil dari Pakatan Harapan (PH). Kejayaan kombinasi ini juga disebabkan oleh pendekatan taktik kempen yang tidak ekstrim, bahkan mementingkan elemen kesederhanaan yang lebih kepada menekankan betapa pentingnya penyatuan rakyat Malaysia secara umumnya.

DAP dan Warisan juga berjaya meyakinkan pengundi tempatan bahawa politik perkauman serta faktor ekstremisme agama perlu ditolak. Taktik seperti ini jika terus digunakan,mungkin akan mendatangkan kebosanan kepada para pengundi yang mahukan sesuatu yang baru dari pihak pembangkang.

Kejayaan Kerajaan Persekutuan menguatkan usaha membanteras rasuah juga telah digunakan sebagai kempen oleh pihak DAP dan Warisan.Jika rasuah berjaya dibanteras maka ini akan membawa kepada pentadbiran yang lebih baik. Manakala dakwaan rasuah ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beberapa hari sebelum hari mengundi tidak membantu pihak pembangkang.

Walaupun telah dijelaskan yang pengundi Sandakan lebih menutamakan isu-su tempatan namun kemungkinan besar pihak pembangkang telah melakukan kesilapan apabila menolak usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen untuk mengembalikan status Sabah dan Sarak kepada kedudukan tahun 1963 dengan meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan.Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan DAP ketika berkempen telah menyatakan beberapa kali bahawa ahli Parlimen pembangkang pimpinan UMNO dan Pas tidak ada hak untuk bercakap tentang hak Sabah dan Sarawak jika mereka menolak untuk menyokong pindaan Perlembagaan untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak kepada kedudukan tahun 1963 sebagai tiga entiti bersama dengan Semenanjung Malaysia yang telah membentuk Persekutuan Malaysia.

PRK ini juga terus membuktikan bahawa undi komuniti Cina masih tetap kukuh kepada kerajaan Pakatan Harapan dan nampaknya pihak pembangkang berdepan dengan jalan yang sukar untuk memenangi semula hati pengundi bukan Malayu.

Adakah ini juga bermakna yang UMNO dan PAS akan lebih erat bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang padu dari pengundi Melayu dan akan meminggirkan pengundi bukan Melayu? Dan adakah langkah ini boleh membawa kejayaan kepada UMNO-PAS untuk membentuk kerajaan.?Adakah pengundi dari bukan Melayu yakin yang gabungan UMNO-PAS akan membentuk satu pentadbiran yang lebih hebat daripada gabungan PH yang terdiri dari pelbagai parti yang lebih fleksibel. Perlu diingatkan juga beberapa parti dalam gabungan PH juga akan cuba mendapatkan undi Melayu bagi memastikan PH akan terus kekal di tampuk pentadbiran.

UMNO dan PAS telah menggunakan pelbagai isu dalam mengkritik pentadibiran PH yang baru berusia setahun jagung. Walaupun kebanyakan kritikan itu tepat dan gagal dibalas dengan baik oleh pihak PH, namun perlu diingatkan bahawa kerajaan PH telah banyak belajar daripada 365 hari pertama ini dan pastinya akan lebih berhati-hati dalam mengorak langkah berikutnya. Contohnya, adakah Isu Islam dipinggirkan sejak PH memerintah akan masih relevan dalamasa beberapa bulan ini?

Bagaimana pula dengan taktik UMNO-PAS yang terus menyalahkan DAP dalam pelbagai isu.?Mungkin masih ada penyokong yang akan terus terpikat dengan agenda yang dibawa oleh UMNO-PAS ini, tetapi jika isu yang sama terus dijerit dan diperjuangkan , dikhuatiri akan menimbulkan rasa bosan pula di kalangan para pengundi yang sentiasa mahukan kelainan dari pihak pembangkang. Ya, mereka mahukan pembangkang yang lebih dinamik dan progresif.

Isnin, Mei 13, 2019

LIM KIT SIANG BERI AMARAN KEPADA PM TUNAIKAN JANJI SERAH JAWATAN KEPADA ANWAR



SANDAKAN: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sanggup bersara dariapada politik sekiranya Dr Mahathir Mohamad tidak menunaikan memberikan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Lim berkata beliau tidak suka membuat pertaruhan tetapi kali ini bersedia untuk berundur dari arena politik dan tidak bertanding pada PRU15.

Bagaimanapun, kata Lim lagi sekiranya peralihan kuasa itu berlangsung sebagaimana yang dirancang, maka pemangku presiden Umno Mohamad Hasan perlu bersara daripada politik.

"Saya sangat yakin dengan Mahathir dan saya sedia 'bertaruh' dengan Mohamad bahawa Dr Mahathir akan menunaikan komitmen (Pakatan ) Harapan memberikan proses peralihan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar.

"Jika, Mahathir tidak memberikan jawatannya kepada Anwar, sebaliknya membubarkan parlimen untuk mengadakan PRU15 lebih awal, saya akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding pada PRU15.

"Sekiranya, Mahathir berpegang kepada kata-kata beliau dan memberikan jawatan kepada Anwar, kemudian Mohamad perlu berundur dan tidak akan bertanding pada PRU15," kata Lim.


MP Iskandar Puteri berkata demikian susulan kenyataan yang dibuat oleh Mohamad ketika berceramah di Sandakan, pada Rabu lalu.

Adun Rantau itu mendakwa Mahathir lebih rela membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya daripada memberikan kerusi perdana menteri kepada Anwar selepas dua tahun.

Lim berkata sebelum ini pembangkang berharap gabungan PH "akan pecah" hanya selepas beberapa bulan mentadbir negara.


"Sekarang, pembangkang berharap pula PH akan runtuh dan berpecah dengan mengarapkan Mahathir enggan memberi laluan jawatan perdana menteri kepada Anwar," katanya berdasarkan salinan ucapannya di Sandakan malam tadi pada ulang tahun pertama pentadbiran PH selepas PRU14.

Lim turut memberikan Mohamad tempoh dua hari untuk menerima cabarannya.

Mohamad yang kini berada di Sabah berkempen untuk calon PBS menjelang PRK kerusi parlimen Sandakan, esok. Kempennya itu turut disertai oleh bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

Sabtu, Mei 11, 2019

PENGUNJUNG BAZAR RAMADHAN BELI KUEH GUNA E WALLET TOUCH N GO

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pengunjung ke bazar Ramadan di Kampung Baru sekarang boleh membeli pelbagai juadah untuk berbuka puasa secara “Kashless” atau tanpa tunai menggunakan e-Wallet Touch n Go dengan hanya perlu mengimbas kod QR apabila membuat pembelian.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin berkata bazar Ramadan “Kashless” merupakan salah satu inisaitif syarikat untuk mempronmosikan pembayaran e-wallet.

Malah orang ramai yang ingin menghulur sumbangan di Masjid Jamek Kampung Barujuga boleh menggunakan e-Wallet Touch’n Go.

“Kami mahu mendekati komuniti denghan menjadikan teknologi lebih inklusif melalui cara yang memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga,” kata beliau selepas melancarkan Halaman Sempoi di Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Syahrunizam berkata pengunjung juga berpeluang menikmati ganjaran termasuk wang tunai RM1,000,000 melalui “Ketupat Runtuh' atau pembelian barangan eksklusif melalui Hadiah Extra Sempoi dan banyak lagi apabila membuat pembelian tanpa tunai.

Pada majlis yang sama, syarikat itu memulakan program untuk memastikan makanan berlebihan di bazar dikumpulkan dan dibungkus oleh sukarelawan sebelum mengedarkannya kepada golongan gelandangan dan golongan miskin bandar.

Terdahulu, pasukan TNG Digital mengedarkan 'bubur lambuk' kepada orang ramai di Masjid Jamek . Turut berangkat ke majlis itu anggota kerabat diraja Selangor Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin ldris Shah. Makanan yang diagihkan itu disediakan dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen.

Dalam pada itu, Tengku Zatashah menggesa orang ramai untuk memupuk # SayNo2Plastic dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk membawa bekas makanan mereka sendiri apabila membeli makanan di bazar Ramadan.

“Saya berharap lebih banyak organisasi boleh bekerjasama dengan masyarakat untuk melindungi alam sekitar kita agar bersih dan bebas plastik,“ titah Tengku Zatashah.

-- BERNAMA

Jumaat, Mei 10, 2019

PUTRA AKAN TANDING DI SELANGOR DAN PERAK PRU 15

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bercadang memberikan fokus di negeri Selangor dan Perak dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata presiden penajanya Datuk Dr Ibrahim Ali.

Ibrahim, yang juga bekas Anggota Parlimen Pasir Mas berkata kedua-dua kawasan berkenaan dikategorikan sebagai ‘kawasan kritikal’ berikutan parti bukan Melayu dilihat lebih banyak mendominasi pemerintahan negeri.

“Kita berhasrat untuk memenangi PRU15, justeru bagi pemilihan anggota parti, kita akan tentukan beberapa kriteria penting yang perlu ada pada setiap anggota parti. Dari segi komitmen perjuangan Putra adalah kita ingin mendaulatkan Islam serta menjaga kedudukan kaum bumiputera.

Perjuangan kita berteraskan mendukung asas perlembagan negara serta meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai asas tunjang,” katanya pada sidang media sempena mengumumkan kelulusan pendaftaran parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) di sini hari ini.

Pada 15 Mac lepas, Ibrahim memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS yang tidak menjawab permohonan pendaftaran Putra.

Beliau mengemukakan permohonan kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan dalam permohonan itu, Ibrahim memohon perintah mandamus supaya responden meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada Ogos 2018.

Surat kelulusan pendaftaran Putra yang diluluskan semalam, kemudiannya ditandatangani oleh Ketua Pengarah RoS Masyati Abang Ibrahim mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.

Penubuhan parti yang menggunakan lambang ‘tanjak’ itu juga berikutan permintaan daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik sekarang.

Putra akan mengadakan mesyuarat agung pertamanya tidak lama lagi bagi melantik ahli-ahli jawatankuasa serta penubuhan cawangan parti di setiap negeri seluruh Malaysia.

-- BERNAMA

Khamis, Mei 09, 2019

KUASA RAKYAT JATUHKAN BN YANG 60 TAHUN MEMERINTAH

Oleh Mohd Faizal Hassan

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Tanggal 9 Mei, 2018 akan terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia buat selama-lamanya.

Ini kerana pada hari itulah pengundi berdaftar berbaris untuk satu tujuan iaitu menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dan kemudian menunggu dengan penuh debaran keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengundi dan rakyat Malaysia, dari pelbagai latar belakang, pendidikan, agama, budaya, gaya hidup, kumpulan masyarakat, kerjaya, dan sebagainya, sanggup tidak tidur semalaman dan setia menunggu di depan peti televisyen atau telefon pintar mereka untuk mengikuti keputusan pilihan raya, walaupun hingga 5 pagi pada keesokan hari dan menanti 20 jam lagi untuk menyaksikan kerajaan baharu dibentuk.

Setiap orang daripada mereka mempunyai kisah atau pengalaman untuk dicerita dan berkongsi, dengan sesetengah daripada mereka teruja untuk mengetahui keputusan sebelum sejarah dicipta apabila kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) telah dipilih dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun.

PRU14 yang disifatkan sebagai "ibu kepada semua pilihan raya" menyaksikan PH yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan mudah majoriti.

Gabungan itu kemudian memilih Dr Mahathir Mohamad, 93, untuk menjadi perdana menteri. Dr mahathir, yang merupakan perdana menteri keempat dari 1981-2003, kemudian mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada 10 Mei, 2018 untuk menjadi Perdana Menteri yang paling tua di dunia.

Apa yang dikenali sebagai tsunami politik atau kuasa rakyat mencipta kemenangan yang tidak dijangka mencetuskan perasaan gembira di kalangan rakyat di Malaysia apabila para pengundi inginkan perubahan dan menunggu untuk rancangan besar bagi Malaysia Baharu dilaksanakan oleh kerajaan yang baru dipilih di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Rakyat Malaysia pada keseluruhannya begitu bersemangat untuk bersama-sama menjayakan usaha dan perjuangan Dr Mahathir semasa kempen PRU dahulu bagi membetulkan kesalahan yang menurut beliau dilakukan oleh kerajaan terdahulu sebelum melaksanakan rancangan besar Malaysia Baharu.

Pada sidang media pertama pada malam bersejarah itu, Dr Mahathir ditanya apakah tindakan akan diambil terhadap pemimpin BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan beliau menjawab: "Kami (Pakatan Harapan) tidak mahu membalas dendam. Kami hanya mahu mengembalikan kedaulatan undang-undang.

Antara mesej penting pada malam itu ialah kerajaan yang dipimpin PH berjanji untuk mengurangkan cukai barang dan perkhidmatan, untuk menstabilkan harga petrol, memansuhkan GST, mengurangkan kos hidup, mengkaji semula projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing, yang kemudian semuanya ditunaikan.

Tidak lupa, kejayaan mengatasi skandal 1MDB menggunakan saluran undang-undang, pelan penyusunan semula dan pemulihan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan memerangi rasuah pada skala besar dan memperkenalkan iniasiatif baharu sepetrti penubuhan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Mengulas lanjut, penganalisis politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah antara komitmen utama PH sejak hari pertama pakatan itu menjejakkan kaki di Putrajaya.

“Ia menjadi agenda utama setakat ini dan Perdana Menteri sendiri sentiasa memberi peringatan khususnya kepada penjawat awam agar menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu mereka. Jaminan ke arah tadbir urus yang baik, ketelusan dalam pemerintahan serta sikap kepertanggungjawaban perlu diberi sokongan oleh semua pihak bagi menjamin perubahan dalam kerajaan baru ini,” katanya kepada Bernama.

Mencecah 94 tahun, tahun ini, Dr Mahathir seakan-akan tidak menghiraukan usia emas beliau dan akan berjuang berhabis-habisan untuk mengubah dan membangunkan masa hadapan Malaysia dengan projek infrastruktur gergasi termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), mengurangkan kos pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan Transit Aliran Massa 2 (MRT 2), yang kedua-duanya diberikan lampu hijau dan dijadualkan siap menjelang Februari 2024 bagi LRT3 dan Julai 2021 bagi MRT 2.

Berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Malaysia sedang mencari kaedah untuk mengurangkan lagi kos dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Singapura sebelum tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Mei 2020.

Kecemerlangan kepimpinan Dr Mahathir dibantu timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota kabinetnya biarpun kebanyakan menterinya adalah baharu dan tidak berpengalaman semasa memegang jawatan.

Dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun pertama PH menjadi parti memerintah, beliau menjelaskan selaku perdana menteri, beliau cuba untuk mengajar dan membimbing mereka dan beliau yakin mereka akan setara dengan yang berpengalaman, jika diberikan masa.

Dalam hal ini, Che Hamdan mengulas mempunyai seorang wanita sebagai timbalan perdana menteri dan lebih ramai wanita berada di dalam kerajaan baharu ini, merupakan satu penghormatan untuk mereka mempamerkan kewibawaan dan memenuhi tanggungjawab mereka dengan baik.

Malaysia menyambut ulang tahun pertama kemenangan PH dalam PRU14, membentuk dan menjalankan operasi Kerajaan Persekutuan yang baharu, adalah lumrah untuk menanyakan sebaik mana kerajaan PH mentadbir dan menunaikan janji-janji pilihan raya.

Dr Mahathir pernah mengakui bahawa pakatan itu membuat terlalu banyak janji pilihan raya kerana ia tidak menjangka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.

“Sebenarnya, kami tidak menjangka untuk menang, dan kami membuat banyak manifesto dengan macam-macam janji … kami perlu melakukan pengorbanan untuk memenuhi janji kami. Jika kami tidak memenuhinya, kami perlu mencari alasan kukuh yang boleh diterima rakyat,” kata Dr Mahathir seperti yang dilaporkan.

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin berpendapat bahawa kerajaan PH memerlukan enam bulan lagi untuk membaiki kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu dan membawa negara kembali ke landasan selepas mengambil alih pentadbiran pada Mei tahun lepas.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata dalam tempoh ini, PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberikan penjelasan yang tepat apabila perlu terutama mengenai hal-hal berkaitan ekonomi, supaya rakyat memahami situasi semasa.

Pensyarah geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata kerajaan PH sedang berusaha keras untuk memenuhi kewajipannya sebagai kerajaan hari ini tetapi disebabkan beberapa kekangan, terutama menteri-menteri yang kurang berpengalaman, penambaibaikan berjalan sangat perlahan.

"Tidak ada istilah menikmati kemewahan untuk menteri kerana mereka perlu melakukan melaksanakan tugas mulai hari pertama dan tidak menunggu sehingga tahun kedua. Dalam tempoh satu tahun yang lalu, PH telah menekankan mengenai isu liabiliti BN seperti tahap hutang dan isu 1MDB.

"Pada tahun kedua pentadbirannya, menyalahkan pihak lain tidak lagi boleh digunakan sebagai alasan mengapa PH tidak dapat berfungsi seperti diharapkan. Oleh itu, pada pendapat saya, tahun kedua adalah mencabar bagi kerajaan PH kerana rakyat tidak mahu mendengar alasan tetapi mahu keputusan, justeru, masalah seperti kos sara hidup yang tinggi akan ditangani oleh kerajaan.

"Rakyat nampaknya bersifat memaafkan untuk tahun lalu tetapi tidak membuat kesilapan, dan pada tanggal 9 Mei dan seterusnya mereka mungkin berada dalam mood yang berbeza dan mahukan keputusan,” kata beliau ketika dihubungi.

Rakyat Malaysia perlu mengambil perhatian bahawa perubahan sebenar atau pembaharuan yang bersamaan dengan "rancangan besar" untuk Malaysia Baharu, hanya boleh berlaku pada tahun-tahun akan datang.

Penganalisis politik dan profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata tempoh satu tahun adalah terlalu singkat untuk menilai prestasi PH kerana pentadbiran perlu melakukan banyak kerja.

"Sekarang kita memasuki fasa baru dalam kematangan proses demokrasi di Malaysia. Kematangan inilah yang akan menjadikan demokrasi berkembang. Yang mendapat manfaat adalah rakyat," katanya.

Esok (Khamis), genap satu tahun kerajaan PH memegang tampok kuasa dan masih mempunyai berusaha untuk memenuhi manifesto pilihan raya dalam tempoh lima tahun.

Esok, kira-kira pukul 3 petang di Putrajaya, Dr Mahathir dijadualkan menyampaikan perutusan ke seluruh negara sempena setahun PH memegang teraju pemerintahan.

Apakah agaknya yang terkandung dalam perutusannya untuk rakyat

-- BERNAMA

Rabu, Mei 08, 2019

TUKAR MB BERJAYA DI JOHOR TAPI GAGAL DI PERAK

IPOH, 7 Mei (Bernama) -- "Saya masih lagi Menteri Besar dan Pakatan Harapan (PH) masih kekal sebagai kerajaan negeri", demikian menurut Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya antara kejayaan sepanjang hampir setahun mentadbir Perak.

Ahmad Faizal yang lebih mesra dengan panggilan Peja menyifatkan perkara itu antara kejayaannya kerana sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar (MB) pada 12 Mei 2018, banyak pihak mempertikaikan kemampuan beliau.

"Tahun pertama saya jadi menteri besar ada yang kata cuma jadi MB untuk beberapa hari sahaja dan PH akan jatuh.

"Ini disebut oleh ketua pembangkang (Datuk Saarani Mohamad). Sedarlah semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Scanda Sky dengan Malaysia Airlines Berhad di sini.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta berkongsi antara kejayaan dicapai sepanjang setahun menjadi menteri besar Perak.

Sebelum ini, Saarani pernah membuat kenyataan bahawa terdapat komplot untuk menjatuhkan menteri besar Perak dengan didalangi oleh seorang Anggota Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Dr Abdul Aziz Bari.

Malah, bulan lepas Abdul Aziz yang memenang portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, sekali lagi dikaitkan dengan cubaan sama selepas tular satu rakaman audio, namun beliau menafikannya.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata antara kejayaan setahun PH mentadbir Perak adalah berjaya menarik pelaburan asing ke negeri itu selain mengekang penerokaan tanah secara haram terutama oleh peneroka korporat.

"Kejayaan lain adalah membina 34,000 unit rumah mampu milik dalam masa setahun, sedangkan sasaran asal adalah 50,000 unit," katanya sambil menambah maklumat terperinci akan diberikan semasa wawancara khas yang dijadual pada 12 Mei ini.

Ahmad Faizal juga menyifatkan kejayaan lain adalah keupayaan menutup bajet negeri pada 2018 dengan lebihan sebanyak RM50 juta.

"Bajet dibentang oleh kerajaan negeri bawah BN pada 2018 adalah bajet defisit. Tapi apabila kami ambil alih pada Mei 2018, berjaya tutup dengan lebihan...dengan macam-macam (perbelanjaan) termasuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19," katanya.

Bajet negeri Perak 2018 yang dibentang oleh Menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir berjumlah RM1.17 bilion.

-- BERNAMA

Selasa, Mei 07, 2019

BERLAKU ADIL KEPADA SEMUA ORANG TIP UNTUK JADI HAKIM YANG BAIK

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Berlaku adil kepada semua orang dan sentiasa mengingati sumpah jawatan, ini antara tip untuk menjadi hakim yang baik, kata Ketua Hakim Negara wanita pertama negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.

Tengku Maimun berkata seorang hakim yang adil adalah hakim yang sentiasa mengingati sumpah jawatan yang dilafazkannya dan sentiasa berpegang kepada kod etika yang termaktub dalam kod etika hakim.

"Dan tentunya prinsip-prinsip asas lain yang terkandung dalam prinsip-prinsip Bangalore (perilaku kehakiman), semua itu adalah kriteria dan kualiti ... kualiti lain seperti memastikan pihak-pihak yang dihakimi mempunyai hak untuk didengar di mahkamah, jika anda perlu tegur peguam, maka tegurlah dengan sopan, berlaku adil kepada semua.

Layani peguam, baik peguam kanan atau junior secara sama rata. Sudah tentu kecekapan menjadi keutamaan. Apa yang saya maksudkan dengan cekap adalah jika ada garis masa, maka anda mematuhi garis masa tetapi tidak berkompromi dengan kualiti kerja anda, "katanya.

Tengku Maimun menjawab soalan berhubung apakah kriteria peribadi untuk menjadi hakim yang seadil-adilnya pada sidang media di pejabatnya di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Prinsip-prinsip Perilaku Kehakiman Bangalore mengandungi enam nilai teras badan kehakiman - Kebebasan, Tidak Berat Sebelah, Integriti, Kesempurnaan, Kesaksamaan, Kecekapan dan Ketelitian. Ia bertujuan untuk menetapkan etika tatalaku yang standard bagi hakim.

Kepada soalan bahawa sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama, apakah mesej yang beliau sampaikan kepada peguam muda, Tengku Maimun berkata, "Bersikap jujur, dan bekerja keras".

Hakim berusia 59 tahun itu juga menolak spekulasi bahawa untuk menjadi hakim tertinggi, hakim mesti menulis penghakiman menentang.

“Rasanya tak lah banyak mana “dissenting judgment “saya. Dan saya tidak fikir itu satu kriteria yang perlu untuk dilantik sebagai hakim atau naik pangkat, Kriterianya banyak.

Tentu sekali independence, kebolehan memutuskan berdasarkan fakta di hadapannya tanpa mengambil kira faktor-faktor lain, itu penting dan juga integriti.

“Jadi soal menulis “dissenting judgment” pada saya, tidak perlu. Kalau kebetulan perlu, it is not always you have to dissent. Kalau perlu untuk satu penghakiman yang sebulat suara, tidak bermaksud itu suatu yang tidak baik.

Tak boleh nak buat penilaian seseorang hakim itu sama ada hakim itu pernah atau banyak membuat penghakiman menentang. Itu bukan criteria. Kalau secara kebetulan seorang hakim itu perlu menulis satu penghakiman menentang, itu secara sendirinya, tidak bermakna dia lebih baik daripada hakim yang tak pernah menulis secara menentang,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju bahawa salah satu kriteria untuk menjadi hakim yang baik ialah menulis penghakiman yang ringkas lagi padat.

Beliau dirujuk kepada penghakiman satu halaman yang mendapat pujian daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan berhubung kes melibatkan Menang Holdings yang beliau putuskan ketika menjadi majistret di Port Dickson.

Allahyarham Tan Sri Azmi Kamaruddin (Hakim Mahkamah Persekutuan) kemudian menjawab penghakiman satu halaman itu melalui surat kepada Tengku Maimun.

"Mesejnya kepada saya adalah bahawa ia adalah penghakiman yang ringkas lagi padat dan bahawa penghakiman harus menjadi contoh atau model bagi majistret lain untuk mencontohinya. Setiausaha Azmi memberitahu saya bahawa beliau mempunyai banyak kes lain untuk dibaca tetapi apabila membaca penghakiman yang ringkas, beliau gembira.

"Beliau gembira kerana tidak perlu membazirkan masa untuk membaca penghakiman yang panjang berjela-jela untuk tujuan rayuan daripada mahkamah rendah," kata hakim tertinggi itu.

Ketika ditanya apakah perasaannya menjadi Ketua Hakim Negara yang kedua termuda pada usia 59 tahun, Tengku Maimun berkata "Adakah benar saya hakim yang kedua termuda. Ia bukan isu untuk saya. Ini adalah rezeki, "

Kepada soalan bahawa sebagai hakim junior judge, apakah perasaannya melangkau hakim-hakim kanan untuk menyandang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, Tengku Maimun semua ini adalah ketentuan Allah.

“Ini bukan satu jawatan yang dimohon. Ini rezeki dari Allah. Saya percaya walaupun saya junior, senior yang saya langkau, tiada perasaan kurang senang. Sebagai seorang muslim, ini adalah ketentuan Allah. Jika ia sudah ditentukan untuk kita, ia akan menjadi milik kita,” kata beliau.

Tengku Maimun juga berikrar untuk meneruskan apa sahaja pembaharuan yang ketua hakim negara sebelumnya, Tan Sri Richard Malanjum telah memulakan ketika beliau menjadi Ketua Hakim Negara.

“ Kita akan menambahbaik dan sebagainya. saya perlu duduk berbincang dengan (presiden mahkamah rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak). saya [percaya, banyak perkara yang telah dimulakan oleh Tan Sri Malanjum yang kita boleh teruskan.

Saya perlu settle down dahulu. Terlalu awal untuk saya sebut perancangan saya. Keempat- empat kami (beliau, presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan hakim Besar Sabah dan Sarawak) akan membuat keputusan secara kolektif dan duduk berbincang bersama,” kagta beliau.

Beliau juga menekankan tentang cabaran utama yang beliau jangka adalah untuk mengekalkan keyakinan orang ramai kepada badan kehakiman dan menguruskan persepsi negatif orang ramai.

Tengku Maimun menyangkal dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh seorang hakim.

Ketika ditanya mengenai kes Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata semua kes harus dianggap sebagai kes biasa sama ada ia berprofil tinggi atau kes biasa.

“Ini adalah harapan orang ramai. Dari segi prosedur, apa yang biasa tetap terpakai dalam kes yang dianggap berbeza itu. Dari sudut mahkamah, sama sahaja,” kata beliau dan menambah Mahkamah Tinggi Jenayah telah ditubuhkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berikutan banyaknya kes-kes berprofil tinggi yang difailkan di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Isnin, Mei 06, 2019

SEPATUTNYA MB DILANTIK PENGERUSI BERSATU JOHOR



JOHOR BAHRU 5 Mei - Walaupun Mazlan Bujang sudah dilantik sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang baharu berkuat kuasa pada 25 Mei ini, pergolakan dalaman parti itu masih tidak lagi reda.

Menerusi satu mesyuarat yang diadakan di Ibu pejabat Bersatu Johor, Kempas di sini petang tadi, sepatutnya satu keputusan iaitu persetujuan melantik Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Bersatu negeri yang baharu diumumkan.

Majoriti daripada bahagian Bersatu Johor didakwa akan bersetuju dengan keputusan memilih Dr. Sahruddin yang juga Menteri Besar Johor itu sebagai Pengerusi Bersatu yang baharu bagi menggantikan Mazlan.


Bagaimanapun pihak media yang hadir untuk sidang akhbar pada petang tadi, tidak dibenarkan membuat sebarang liputan selain menyatakan mesyuarat tersebut tertutup dan tiada sidang akhbar akan diadakan.

Dr. Sahruddin ketika ditemui pihak media enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut tersebut.

Pada 30 April lalu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata, Mazlan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Johor mengambil alih tugas itu daripada Datuk Osman Sapian.

Sementara itu terdapat juga cakap-cakap bahawa Osman yang juga bekas Menteri Besar akan dilantik semula sebagai Pengerusi Bersatu negeri.

Osman ketika dihubungi menafikan mesyuarat tersebut adalah untuk melantik atau mengumumkan Pengerusi Bersatu negeri yang baharu.

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, pertemuan tersebut hanya perbincangan biasa melibatkan ketua-ketua bahagian.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah ketua-ketua bahagian Bersatu seluruh Johor yang hadir dalam ‘pertemuan’ tersebut.


“Jika mereka mahu melantik Pengerusi (Bersatu negeri) yang baharu setelah ramai tidak menerimanya (Pengerusi Bersatu terkini), biarkan Menteri Besar (Dr. Sahruddin) memegang jawatan itu,” katanya.

Ahad, Mei 05, 2019

40 TAHUN MENANTI KAD PENGENALAN SETELAH DITIPU RM4,000

JERTIH, 4 Mei (Bernama) -- Setelah 40 tahun menanti, seorang warga emas yang kehilangan dokumen pengenalan diri akhirnya menerima dokumen itu hari ini.

Masalah Embong Muhamad, 71, bukan berpunca kerana kesilapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaliknya ekoran tindakan beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menipu beliau kononnya boleh menyelesaikan masalah kebergantungan kepada kad pengenalan sementara.

Kad pengenalan warganegara (MyKad) dan sijil kelahiran baharu diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh di rumah Embong di Kampung Lay Out Gerai di sini.

Embong berkata sebelum ini beliau mengalami pelbagai kesukaran dan perlu memperbaharui kad pengenalan sementara setiap tiga bulan.

“Ketika bekerja sebagai buruh binaan semasa berumur lingkungan 27 tahun kad pengenalan saya telah diambil oleh majikan untuk proses pengurusan bayaran gaji namun tidak dipulangkan kembali,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

“Sepanjang tempoh untuk mendapatkan kad pengenalan baharu, saya pernah kerugian kira-kira RM4,000 kerana ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab yang berjanji untuk membantu saya mendapatkan dokumen itu dalam masa yang singkat,” katanya.

Menurut bapa kepada lima cahaya mata ini, beliau kembali membuat permohonan baharu di JPN Besut beberapa bulan lepas mengikut prosedur yang betul bagi membolehkan impian beliau menunaikan haji pada masa akan datang.

“Sepanjang tempoh lebih 40 tahun ini paling jauh jarak perjalanan yang saya pergi hanyalah ke rumah anak saya di Pulau Pinang sahaja, itu pun risau sekiranya berlaku apa-apa kerana masalah yang saya hadapi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh berkata sejurus dimaklumkan akan masalah Embong, pihaknya mula menjalankan siasatan termasuk menyelidik tempat kelahiran dan adik beradik Embong.

JPN telah membantu beliau membuat permohonan daftar lewat kelahiran diikuti daftar lewat kad pengenalan sehinggalah ia selesai bagi mengelak terus ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ruslin berkata terdapat kira-kira 20,000 keping kad pengenalan warganegara (MyKad) di seluruh negara masih tidak dituntut pemiliknya sejak 18 bulan lalu.

Beliau berkata pemilik kad berkenaan diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk membuat tuntutan sebelum tindakan menghapuskan kad terbabit dilakukan.

Ruslin berkata, bermula 2 Mei JPN telah menguatkuasakan pengurangan tempoh sahlaku dokumen pengenalan sementara bagi permohonan kad pengenalan warganegara (MyKad) daripada 90 hari kepada 30 hari.

-- BERNAMA

Sabtu, Mei 04, 2019

MOHAMAD FUZI AKHIRNYA TINGGALKAN PDRM SELEPAS 35 TAHUN

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Suasana meriah namun sayu, mengakhiri persaraan Ketua Polis Negara ke-11, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib hari ini.

Beliau yang menabur bakti selama 35 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan pada Majlis Paluan Berundur, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini dihadiri lebih 500 pegawai kanan pengurusan tertinggi termasuk anggota keluarga.

Majlis yang bermula pada pukul 5.00 petang itu, dimeriahkan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM yang mengalunkan beberapa buah lagu serta deklamasi sajak selama sejam, sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Mohamad Fuzi juga turut diberikan penghormatan memimpin pancaragam itu, sebelum menaiki kenderaan istiadat polis bersama ahli keluarganya dan meninggalkan acara itu.

Turut hadir Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mohamad Fuzi dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit, Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dari 1998 hingga 2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman dari 2007 hingga 2009; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman dari 2009 hingga 2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dari 2015 hingga 2017.

-- BERNAMA

Jumaat, Mei 03, 2019

1MDB DITUBUHKAN UNTUK MEMBIAYAI PILIHANRAYA UMUM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram menggesa supaya sistem pembiayaan politik diwujudkan di Malaysia agar parti-parti politik tidak perlu lagi meminta wang daripada badan-badan korporat atau memperolehnya secara haram.

Beliau berkata perlu ada sumber kewangan alternatif dengan peraturan-peraturan yang sangat ketat yang harus dipatuhi oleh parti-parti politik.

“Ini (sistem pembiayaan politik) adalah sangat penting jika kita ingin melakukan sesuatu berkenaan politik wang dan perniagaan, ini adalah syarat penting,” katanya dalam ucaptama beliau pada ‘Seminar PRU14 dan Setahun Selepasnya: Analisis dan Perspektif’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Jomo yang juga penasihat kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkata politik wang yang diamalkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu memerlukan pembiayaan kewangan yang sangat besar.

Justeru, beliau mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diwujudkan untuk membiayai pilihan raya umum dan memancing sokongan rakyat.

Katanya 1MDB ditubuhkan ketika Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum 2008, kononnya berpunca daripada kekurangan dana.

“Tujuan ECRL adalah semata-mata untuk mendapatkan dana bagi pilihan raya umum lepas, melihatkan kepada cara ia diluluskan dengan terburu-buru oleh Kabinet pada penghujung 2017 dan pada Januari 2018, ECRL sudah mula beroperasi,” kata beliau.

Kerajaan baharu, yang dipimpin oleh Pakatan Harapan baru-baru ini memutuskan untuk menyambung semula project ECRL dengan kos pembinaannya dikurangkan sebanyak 32.8 peratus, iaitu daripada kos asal RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

Khamis, Mei 02, 2019

JENAZAH ABU HASSAN DIN AL HAFIZ SELAMAT DIKEBUMIKAN

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Jenazah pendakwah terkenal Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak di sini, petang ini.

Kira-kira 1,000 orang hadir di tanah perkuburan itu, sebelum jenazahnya dikebumikan pada 6.10 petang.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah diimamkan oleh anak lelakinya Mohamad Yusri. Talkin dibacakan menantu Allahyarham, Hamdan Abdul Aziz.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri setelah menunaikan solat subuh di rumahnya di Kampung Batu Muda, Sentul.

Allahyarham yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham bertugas di Pusat Islam pada 1976, sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Abu Hassan.

“Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan solehin,” katanya di laman Twitter.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pula berkata: “Hiba mendengar berita pemergian permata ummah, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz. Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula berkata Malaysia hari ini kehilangan seorang ilmuwan Islam yang disegani.

“Kementerian Pendidikan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat,” katanya.

Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pemergian Abu Hassan merupakan satu kehilangan besar buat negara, kerana beliau adalah tokoh agama yang disegani.

Beliau berkata masyarakat pasti merindukan curahan idea serta ilmu yang dilontarkan Allahyarham, di setiap ceramah agamanya.

“Allahyarham merupakan tokoh agama negara yang wajar diingati, kerana beliau sentiasa memberi nasihat terutama ketika menjadi penasihat agama di Istana Negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Batu Muda di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata hubungan beliau dengan Allahyarham sangat rapat kerana bersama-sama mengendalikan kuliah di Masjid Saidina Hamzah pada bulan Ramadan.

-- BERNAMA