IPOH, 7 Mei (Bernama) -- "Saya masih lagi Menteri Besar dan Pakatan Harapan (PH) masih kekal sebagai kerajaan negeri", demikian menurut Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya antara kejayaan sepanjang hampir setahun mentadbir Perak.
Ahmad Faizal yang lebih mesra dengan panggilan Peja menyifatkan perkara itu antara kejayaannya kerana sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar (MB) pada 12 Mei 2018, banyak pihak mempertikaikan kemampuan beliau.
"Tahun pertama saya jadi menteri besar ada yang kata cuma jadi MB untuk beberapa hari sahaja dan PH akan jatuh.
"Ini disebut oleh ketua pembangkang (Datuk Saarani Mohamad). Sedarlah semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Scanda Sky dengan Malaysia Airlines Berhad di sini.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta berkongsi antara kejayaan dicapai sepanjang setahun menjadi menteri besar Perak.
Sebelum ini, Saarani pernah membuat kenyataan bahawa terdapat komplot untuk menjatuhkan menteri besar Perak dengan didalangi oleh seorang Anggota Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Dr Abdul Aziz Bari.
Malah, bulan lepas Abdul Aziz yang memenang portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, sekali lagi dikaitkan dengan cubaan sama selepas tular satu rakaman audio, namun beliau menafikannya.
Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata antara kejayaan setahun PH mentadbir Perak adalah berjaya menarik pelaburan asing ke negeri itu selain mengekang penerokaan tanah secara haram terutama oleh peneroka korporat.
"Kejayaan lain adalah membina 34,000 unit rumah mampu milik dalam masa setahun, sedangkan sasaran asal adalah 50,000 unit," katanya sambil menambah maklumat terperinci akan diberikan semasa wawancara khas yang dijadual pada 12 Mei ini.
Ahmad Faizal juga menyifatkan kejayaan lain adalah keupayaan menutup bajet negeri pada 2018 dengan lebihan sebanyak RM50 juta.
"Bajet dibentang oleh kerajaan negeri bawah BN pada 2018 adalah bajet defisit. Tapi apabila kami ambil alih pada Mei 2018, berjaya tutup dengan lebihan...dengan macam-macam (perbelanjaan) termasuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19," katanya.
Bajet negeri Perak 2018 yang dibentang oleh Menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir berjumlah RM1.17 bilion.
-- BERNAMA