KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bercadang memberikan fokus di negeri Selangor dan Perak dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata presiden penajanya Datuk Dr Ibrahim Ali.
Ibrahim, yang juga bekas Anggota Parlimen Pasir Mas berkata kedua-dua kawasan berkenaan dikategorikan sebagai ‘kawasan kritikal’ berikutan parti bukan Melayu dilihat lebih banyak mendominasi pemerintahan negeri.
“Kita berhasrat untuk memenangi PRU15, justeru bagi pemilihan anggota parti, kita akan tentukan beberapa kriteria penting yang perlu ada pada setiap anggota parti. Dari segi komitmen perjuangan Putra adalah kita ingin mendaulatkan Islam serta menjaga kedudukan kaum bumiputera.
Perjuangan kita berteraskan mendukung asas perlembagan negara serta meletakkan agama, bangsa dan negara sebagai asas tunjang,” katanya pada sidang media sempena mengumumkan kelulusan pendaftaran parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) di sini hari ini.
Pada 15 Mac lepas, Ibrahim memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan RoS yang tidak menjawab permohonan pendaftaran Putra.
Beliau mengemukakan permohonan kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan dalam permohonan itu, Ibrahim memohon perintah mandamus supaya responden meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada Ogos 2018.
Surat kelulusan pendaftaran Putra yang diluluskan semalam, kemudiannya ditandatangani oleh Ketua Pengarah RoS Masyati Abang Ibrahim mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.
Penubuhan parti yang menggunakan lambang ‘tanjak’ itu juga berikutan permintaan daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik sekarang.
Putra akan mengadakan mesyuarat agung pertamanya tidak lama lagi bagi melantik ahli-ahli jawatankuasa serta penubuhan cawangan parti di setiap negeri seluruh Malaysia.
-- BERNAMA