KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah di sekitar Kedah dan Pulau Pinang sejak semalam.
Markas Tentera Udara dalam kenyataan hari ini berkata TUDM melaksanakan latihan penerbangan bagi pertunjukkan udara sempena acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ‘19) yang akan berlangsung bermula 26 sehingga 30 Mac ini di Langkawi, Kedah.
“Latihan terbang itu bagi menjayakan acara ini dijadualkan bermula semalam sehingga ke hari sebenar acara berkenaan yang melibatkan beberapa buah pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter di beberapa ruang udara sekitar Kedah dan Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.