PORT DICKSON: Bekas Ketua Umno Bahagian Port Dickson, Tan Sri Isa Samad berkata beliau bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Port Dickson Sabtu ini kerana Umno tidak bertanding.
Bercakap secara live dalam Facebook Datuk Zaharin Mohd Yasin pagi ini, Isa berkata sepatutnya Umno bertanding kerana PRK ini adalah peluang terbaik bagi Umno untuk menghuraikan isu isu yang gagal ditangani oleh kerajaan PH.
"Oleh kerana Umno tak bertanding, maka saya berhenti menjadi ahli Umno dan buat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas," katanya sambil menerangkan bahawa beliau berhenti menjadi ahli Umno kerana tak mahu esok keluar dalam suratkhabar Isa dipecat dari Umno setelah jadi calon Bebas.
Ditanya jika Umno bertanding dan meletakkan Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai calon pada PRK Port Dickson, Isa berkata beliau tidak akan bertanding sebagai calon Bebas tetapi sebaliknya akan menyokong Mohamad Hassan sebagai calon Umno kerana itu adalah keputusan parti.
"Sewaktu saya digantung selama tiga tahun keahlian Umno, saya berkempen untuk BN setiap kali PRK kecuali di Batang Ai, Sarawak. Oleh itu sebagai ahli parti, jika Umno bertanding saya tetap sokong siapa sahaja yang jadi calon." tegasnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan bahawa jika ada orang kata Port Dickson tidak membangun, beliau secara berseloroh suruh orang itu cek mata kerana matanya tak terang.
"Port Dickson adalah daerah pelancongan dan sudah banyak perancangan yang dibuat di zaman saya dilaksanakan semasa saya jadi MB malah pengganti saya Mohamad Hassan telah melaksanakannya juga," jelas beliau.
Bercakap trend undi tentera, Isa mendakwa pada PRU lalu BN dapat juga banyak undi tentera tetapi tak dapat mengatasi majoriti PKR di tiga DUN Chuah, Lukut dan Sri Tanjung kerana majoriti BN menang di DUN Bagan Pinang dan Linggi amat tipis.
"Saya yakin saya akan dapat juga undi tentera kerana hubungan saya dengan tentera amat baik. Walaupun saya bukan lagi wakil rakyat tetapi hubungan kami amat baik," katanya.
Isa yang pernah jadi Pengerusi FELDA menegaskan bahawa beliau bertanding kerana menentang calon PKR dan calon PAS yang merupakan musuh tradisi Umno.
Oleh itu beliau yakin para pengundi di DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi akan mengundi beliau sebagai proksi Umno setelah Umno tidak bertanding.
Beliau menyeru semua ahli Umno turun mengundi beramai-ramai Sabtu ini kerana itu adalah hak ahli Umno untuk mengundi walaupun parti mengambil keputusan untuk boikot PRK Port Dickson.