Rabu, Ogos 22, 2018

SABAH TETAP TUNTUT 20 PERATUS ROYALTI MINYAK

KOTA KINABALU, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menuntut royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan untung kasar dan bukannya untung bersih, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya kerajaan negeri telah berjumpa dengan syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selain pihaknya akan turut bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan perkara itu demi manfaat rakyat Sabah.

"Saya percaya ini (tuntutan royalti minyak 20 peratus) akan dapat direalisasikan. Saya telah menyatakan pendirian teguh kerajaan Sabah kepada Petronas bahawa Kabinet negeri telah membuat keputusan 20 peratus royalti minyak itu adalah berdasarkan untung kasar.

"Saya yakin jika perkara ini dibincangkan secara baik ia akan menjadi kenyataan sekali gus membolehkan kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan bagi mengurus tadbir Sabah memandangkan Sabah adalah sebuah negeri besar dan memerlukan lebih banyak kewangan untuk pembangunan.

"Ini termasuk menyediakan lebih banyak sektor dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah sekali gus mengurangkan penghijrahan mereka ke Semenanjung bagi mendapatkan pekerjaan," katanya dalam sidang media bersempena 100 hari Parti Warisan Sabah (Warisan) menerajui kerajaan negeri di sini, hari ini.