Jumaat, Ogos 10, 2018

NAJIB KENA CONTOHI PAK LAH



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kemunculannya di Sungai Kandis semasa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini dibuat dengan niat yang baik, iaitu memenangkan calon BN.

Kata bekas perdana menteri itu, Datuk Lokman Noor Adam meminta bantuannya untuk berkempen di kawasan tersebut ketika BN berdepan dengan cabaran getir merampas kerusi dewan undangan negeri itu daripada Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden Umno lagi.

"Kepimpinan baru Umno perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas bekas menteri yang juga calon naib presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tidak bersetuju Najib dibawa berkempen di PRK Sungai Kandis.

Kata Johari Umno kini berdepan dengan persepsi masyarakat yang menolak parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.

"Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?" katanya.


Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata mustahil Umno dapat bangkit daripada kekalahannya jika parti itu terus mengimbau masa lalu dan membenarkan Najib terlibat dalam hal ehwal pertubuhan berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Khaled berkata sudah tiba masanya Umno menyedari bahawa Najib sebenarnya sedang dibicarakan dan bukannya Umno.

"Kita bukan lagi kerajaan dan kita tidak lagi mempunyai keistimewaan untuk berkata dengan yakin bahawa masih ada orang Melayu di belakang kita," katanya.



Untuk rekod Khaled dan Johari adalah segelintir pemimpin Umno yang bersikap lebih kritikal membicarakan tentang kepimpinan Umno.

Kata Najib Lokman dan pasukannya telah melakukan yang terbaik bagi memenangi PRK Sungai Kandis.

Najib yang kini dibicarakan atas tujuh tuduhan jenayah berkata Umno tidak perlu mempertahankannya.

Melalui perbicaraan yang adil, kata Najib, beliau yakin dapat mempertahankan diri di mahkamah.

"Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya," katanya.

Seakan mahu mengingatkan orang ramai, Najib berkata beliau kini masih memegang jawatan ketua bahagian serta anggota parlimen mewakili Umno.

"Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.

"Oleh itu, saya akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini.

"Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri saya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan BN lalu," katanya.

Ulasan saya, semakin ramai yang mempertikaikan kehadiran Najib dalam PRK Sungai Kandis yang lalu. Bermula dengan Johari Ghani, kini Khaled Nordin pula yang setuju dengan pandangan Johari dan diikuti Annura Musa dan Rahim Thamby Chik.

Sepatutnya Najib selepas melepaskan jawatan Presiden Umno, terus senyap seperti Pak Lah. Selepas melepaskan jawatan Presiden Umno, Pak Lah tidak pernah menimbulkan sebarang kontroversi kerana Pak Lah sedar bahawa zamannya sudah berlalu.

Apa yang dibuat Najib sekarang seolah-olah beliau masih perasan beliau adalah orang nombor satu negara. Maka Najib kena berdiam diri sekarang dan gunakalah mahkamah untuk menjawab persoalan yang timbul. Tak perlulah gunakan media sosial untuk menjawab sebarang isu yang mudah diputarbelia oleh pihak media.

Contohilah Pak Lah yang berehat terus dari politik. Memang benar beliau masih ketua bahagian Pekan, tetapi tak perlulah ulas isu nasional sebaliknya tumpu sahaja kepada kawasan Pekan.

Najib kata niatnya ikhlas untuk bantu calon BN di PRK Sungai Kandis. Pengundi sudah menjawab bahawa bantuan Najib tidak menaikkan undi BN. Sebaliknya 1,933 orang yang mengundi BN pada PRU lalu tidak keluar mengundi pada PRK Sungai Kandis. Kenapa? Adakah mereka ahli Umno yang kecewa orang luar jadi calon BN atau kerana mereka tidak mahu PRK itu dicampuri oleh Najib?

Yang sedang dibicarakan di mahkamah adalah Najib dan bukannya Umno. Oleh itu Najib tak perlu sibuk lagi dengan urusan Umno. Kerana ternyata beliau kini adalah laibiliti kepada Umno.