Rabu, Ogos 08, 2018

JOHARI JANGAN PIJAK ORANG YANG SUDAH JATUH



KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Datuk Seri Johari Abdul Ghani terus menghormati bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun beliau sudah tidak lagi berkuasa.

"Jika seseorang sahabat itu kini jadi miskin dulu kaya atau sahabat dulu berkuasa sekarang tidak lagi dalam keadaan itu harus dihormati.

"Dan dalam keadaan itu kalau berbeza pendapat sekali pun, ada kaedah-kaedah sahsiah yang baik untuk nyatakannya.

"Bagi saya janganlah pijak kepala seseorang apabila tengkuk telah berada di paras buah pinggang," kata Ahmad Zahid kepada pemberita di luar Dewan Rakyat.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri Umno, Johari yang berkata Najib tidak patut dibenarkan berkempen di SUngai Kandis.

Najib yang juga bekas presiden Umno sedang berhadapan pertuduhan rasuah dan ia mungkin membawa tanggapan negatif terhadap Umno, kata Johari.

Selain itu, Johari juga berkata era bekas presiden Umno itu telah berakhir dan parti itu perlu mengorak langkah ke hadapan serta berubah selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Najib turun berkempen menyokong calon BN, Datuk Lokman Adam pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis.

Lokman tewas kepada calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.