Ahad, Julai 08, 2018

SAAT SAAT GETIR BAGI 200 ANGGOTA BOMBA


KEMAMAN 7 Julai (Bernama) -- Meskipun terpaksa berdepan dengan detik-detik getir selama tiga hari untuk memadamkan kebakaran tangki minyak mentah, ia tidak mematahkan semangat 200 anggota bomba yang terlibat dalam operasi kebakaran tiga tangki minyak mentah Kemaman Bitumen Company (KBC).

Sesetengah daripada mereka merasai pengalaman pertama dengan situasi sedemikian walaupun 'api' bagaikan mainan mereka.

Pegawai Bomba Tinggi, Yusmizan Yusoff merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus berkata operasi pada kali ini merupakan pengalaman pertama beliau sepanjang bertugas selama 16 tahun di Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

"Ini adalah pengalaman pertama bagi saya dan tidak pernah sebelum ini saya mengendali kebakaran yang besar sebegini dan ini adalah pengalaman yang sangat mencabar dari segi mental dan fizikal.

"Perasaan takut semasa berhadapan dengan situasi sebegini sememangnya ada namun apabila menerima arahan dan menyarung uniform perasaan takut itu tidak lagi kami fikirkan sehinggalah keluar daripada kawasan kebakaran barulah perasaan itu timbul kembali," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada operasi memadamkan kebakaran tangki minyak mentah KBC di Telok Kalong di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Razidi Abdul Rahim dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka berkata walaupun perasaan takut untuk berhadapan dengan keadaan tersebut tetapi beliau turut teruja apabila berpeluang menyertai operasi kebakaran tangki minyak terbesar di negeri Terengganu.

"Daripada kebakaran yang berlaku di KBC ini kami berpeluang untuk belajar banyak lagi teknik pemadaman apabila berhadapan kebakaran besar yang melibatkan minyak.

"Kami juga memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana kami perlu mencari sumber air yang banyak dan terpaksa berulang-alik untuk mengambil bekalan buih bagi kerja-kerja pemadaman api.

"Kesukaran yang kami terpaksa hadapi adalah dari segi bahang api kerana kami tidak dapat menghampiri tempat kebakaran kerana bahang terlalu panas dan jauh kira-kira 500 meter," katanya.

Mohd Zaiharis Sandar, 38, pula berkata mereka terpaksa berhadapan dengan situasi yang agak kritikal apabila berlakunya beberapa letupan akibat daripada kebakaran dan keadaan angin yang kuat menjadikan keadaan api semakin marak.

Menurut beliau lagi pada hari pertama mereka masuk ke kawasan operasi mereka berdepan keadaan api menjulang pada ketinggian 20 hingga 30 meter ke udara.

Namun bagi anggota bomba Khairul Anwar Muhamad, 41, situasi kebakaran kali ini adalah pengalaman kedua beliau sepanjang 18 tahun berkhidmat di JBPM.

"Sebelum ini saya pernah bertugas di Selangor dan pernah berhadapan dengan situasi yang sama pada tahun 2005 ketika berlaku kebakaran kilang di Klang dan untuk di Terengganu ini adalah kebakaran yang pertama yang terbesar," katanya.

Kebakaran tangki minyak mentah berkenaan bermula 6.15 petang Khamis lalu membabitkan tiga tangki (daripada enam) yang mengandungi minyak mentah lebih 20,000 liter padu.

-- BERNAMA