Sabtu, Julai 07, 2018

PENDUDUK SEKITAR KBC AKAN DIPINDAHKAN JIKA KEBAKARAN SEMAKIN BURUK




CHUKAI, 6 Julai (Bernama) -- Penduduk dari tiga kampung sekitar kawasan perindustrian Teluk Kalong hanya akan dipindahkan sekiranya situasi kebakaran tangki minyak mentah di Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd bertambah buruk.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata setakat ini, kira-kira 2,000 penduduk dari Kampung Bukit Kuang, Kijal dan Teluk Kalong telah dimaklumkan mengenai kemungkinan itu agar mereka lebih bersedia.

"Kita sudah berhubung dengan ketua kampung dan mereka (penduduk) bersedia untuk dipindahkan sekiranya situasi kebakaran ini menjadi semakin buruk.

"Dari segi perpindahan pula, kita akan bincang dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan....mungkin akan dipindahkan ke dewan-dewan orang berhampiran buat sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas tinjauan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ke lokasi itu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aidi berkata setakat ini, sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melakukan pemantauan tahap kualiti udara sekali dalam tempoh empat jam.

"Walaupun tahap kualiti udara di sini masih terkawal, kita tetap larang kemasukan orang ramai ke sini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku...tambahan pula ini adalah kawasan operasi dan laluan ini akan ditutup sehingga keadaan benar-benar selamat," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai masih mengerumuni persimpangan masuk ke lokasi itu untuk melihat sendiri situasi terkini kebakaran di kilang tersebut.

Bagaimanapun, tiada sebarang pencerobohan berlaku dan mereka tetap akur dengan arahan pihak berkuasa dengan tidak menghampiri lokasi kejadian sebaliknya hanya melihat dari jarak yang jauh.

Tinjauan juga mendapati lalu lintas di sepanjang Jambatan Bukit Kuang juga terkawal meskipun orang ramai memberhentikan kenderaan mereka di bahu jambatan bagi merakam kejadian kebakaran itu dengan lebih jelas.

-- BERNAMA