Ahad, Mei 20, 2018

USTAZ ISMAIL DAGANG DALAM KENANGAN

KUALA LUMPUR: Jam 2.45 petang tadi saya terima berita kematian bekas Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK), Ustaz Ismail Dagang dalam grup whatsapp Kemaman Kite melalui Abang Lan.

Saya terus ucap innalilahirajiun kepada bekas boss saya di YPK. Selepas PAS menawan Terengganu pada akhir 1999, Ustaz Ismail Dagang dilantik sebagai Pengarah YPK yang baru pada 1 Januari 2000 menggantikan Datuk Haji Azman Muda secara kontrak selama dua tahun.

Saya yang bekerja sebagai Penolong Pengarah Program YPK amat rapat dengan beliau kerana sebagai orang baru beliau banyak tak tahu selok pentadbiran dalam YPK. Ketika itu saya tak ngam dengan Ketua Penolong Pengarah  (KPP) Pentadbiran, Puan Zaimah Abdul Aziz isteri ADUN Permaisuri ketika itu, Mat Jidin Shafie (belum Datuk), maka saya nasihati Ustaz Ismail supaya  Puan Zaimah ditukarkan ke Bahagian Institut Bina Ummah (IBU) manakala saya syorkan kepada Ustaz Ismail supaya lantik Kamarulzaman Awang sebagai KPP Pentadbiran. Zaimah banyak menganaiyai saya ketika Datuk Haji Azman Muda menjadi Pengarah YPK.

Saya kekal di bahagian program melaksanakan pelbagai kursus dan program YPK di bawah KPP Program, Shafarudin Mustafa (Pengarah YPK sekarang). Walaupun hari cuti mingguan jumaat dan sabtu saya tetap bekerja kerana banyak program YPK diadakan di seluruh negeri pada hari tersebut.

Ketika itu saya mahu bertanding jawatan Presiden Kelab Kakitangan YPK yang mana saya menentang boss saya, Shafaruddin. Saya suruh Ustaz Ismail rasmi mesyuarat agung kelab tersebut. Dalam ucapannya Ustaz Ismail menasihati kelasi kapal tukar nakhoda kerana bimbang kapal akan karam kalau nakhoda yang sama mengemudi kapal itu. Ucapan Ustaz Ismail itu menyebabkan saya menang besar kerana ucapan itu mempengaruhi semua ahli kelab yang hadiri mesyuarat agung tersebut.

Sebelum keputusan diumumkan Shafarudin berkata kepada saya jangan kecil hati kalau kalah ya Zabidi. Saya terkejut saya berjaya menumbangkan Shafaruddin yang sudah lama menjadi Presiden Kelab. Tidak sia sia saya jelajah semua pejabat YPK di tujuh daerah (sekarang lapan daerah) untuk mendapatkan undi. Saya menag dengan majoriti agak besar dalam pertandingan dua penjuru itu.

Pada suatu hari Ustaz Ismail ajak saya pergi ke rumah Menteri Besar, Datuk Seri Haji Hadi Awang di Rusila. Haji Hadi suruh Ustaz Ismail buang Puan Zaimah isteri Mat Jidin. Balik ke pejabat Ustaz Ismail tanya pendapat saya, saya tak setuju Zaimah dibuang kerana ia akan menunjukkan kerajaan PAS ini zalim. Maka Ustaz Ismail kekalkan Zaimah di IBU, YPK yang mana tidak ramai yang tahu saya telah menyelamatkan Zaimah.

Saya bergaduh dengan Zaimah tetapi dengan Mat Jidin saya baik. Bila terjumpa Mat Jidin di The Mall (sebelum Sunway Putra Mall) saya minum dengan Mat Jidin seperti biasa yang menyebabkan Zaimah terkejut lihat suaminya baik dengan saya.

Banyak kenangan manis saya dengan Ustaz Ismail. Kerani saya, Azman Shah yang ikuti Ustaz Ismail berceramah di Johor dengan Salahuddin Ayub pernah ditahan polis yang menyebabkan Azman turut ditahan polis tetapi Ustaz Ismail dengan cepat beritahu polis jangan tangkap orang saya.

Saya kecil hati dengan arwah Ustaz Ismail apabila Shafaruddin bercuti tanpa gaji saya tak dapat jadi Pemangku KPP Program. Sebaliknya Ustaz Ismail melantik orang lain. Hanya saya seorang pegawai YPK yang sanggup bekerja di hari minggu tetapi saya  tidak dihargai oleh Ustaz Ismail. Maka saya pun meletakkan jawatan di YPK dan bekerja dengan Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Rizalman Abdullah kawan lama saya di Sabah sebagai pegawai media. Gaji saya dibayar oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) salah satu GLC di bawah kementerian.

Selepas keluar dari YPK saya tak pernah bertemu dengan Ustaz Ismail. Tetapi Azman Shah selalu sebut Ustaz Ismail tanya kenapa saya merajuk. Kontraknya selama dua tahun di YPK diganti oleh Mohamad Deraman pada 1 Januari 2002. Hanya dua tahun arwah di YPK. Al Fatihah buat arwah. Jasamu tetap kukenang.