Selasa, Mei 22, 2018

HISHAMUDDIN LAWAN DR ZAHID?

JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini diminta mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan presiden parti itu pada pemilihan akan datang.

Cadangan itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang yang menegaskan itu adalah pendapat peribadi beliau dan beberapa ketua bahagian di negeri ini.

"Kami telah pun ada kata sepakat walaupun ini pendapat peribadi kami.

"Kami minta sangat kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mempertimbangkan supaya bertanding bagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang," katanya.

Maulizan ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor yang dipengerusikan oleh ketuanya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ulasan saya, biar ahli Umno menentukan siapa yang layak mengetuai Umno selepas BN gagal mempertahankan kerajaan pusat. Mampukah Hishamuddin mengalahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi? Umno ditubuhkan di Johor tetapi tidak semestinya orang Johor yang mengetuai Umno. Apatah lagi Johor kubu kuat Umno selama ini telah hancur. BN hanya memenangi enam kerusi dari 26 kerusi parlimen iaitu Parit Sulong, Mersing, Kota Tinggi, Semberong, Pontian dan Ayer Hitam (MCA).

Dari segi akar umbi, Zahid memang kuat kerana majoriti ketua bahagian adalah orang Zahid tetapi dalam suasana BN bukan lagi kerajaan pusat maka ramai ketua bahagian tidak sanggup lagi mengetuai bahagian. Maka bukan mudah untuk Zahid mengalahkan Hishamuddin yang dikatakan akan beregu dengan Khairy Jamaluddin. 

Umno dikatakan mahu pembaharuan maka mereka berhujah Najib  (sudah berundur) dan Zahid perlu berundur serentak. Ada pula pendapat yang mengatakan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah wajar ditonjolkan sebagai presiden baharu Umno.

Untuk berlawan dengan Dr Mahathir yang mengetuai PH, mereka berhujah Tengku Razaleigh yang lebih sesuai. Apatah lagi jika Hishamuddin jadi Presiden Umno, mampukah Hishamuddin menumbangkan Dr Mahathir? Najib yang sudah jadi PM selama sembilan tahun boleh dikalahkan oleh Dr Mahathir, apatlah lagi Hishamuddin yang masih berhingus.

Oleh itu Umno perlu memilih presiden yang benar benar berwibawa untuk tundukkan Dr Mahathir.