Khamis, Mei 24, 2018

SURI RUMAH AKAN DAPAT KWSP JUGA?

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dicadangkan melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata beliau akan bertemu dengan KWSP minggu depan berhubung pelan tindakan caruman KWSP suri rumah itu.

Beliau berkata antara perkara yang perlu dibincangkan dengan KWSP ialah mengenai mekanisme caruman KWSP untuk suri rumah, siapa yang layak dan kaedah pemberian.

"Kita juga kena fikir caruman untuk isteri pertama dan kedua kalau untuk orang Islam," katanya dalam sidang media untuk memulakan tugas di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata caruman KWSP untuk suri rumah itu merupakan antara keutamaan untuk dilakukannya dalam masa terdekat memandangkan ia merupakan satu daripada manifesto 100 hari Pakatan Harapan.