Rabu, Mei 23, 2018

KERAJAAN PAS TERUSKAN DANA HARI RAYA





KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Permohonan Dana Hari Raya Aidilfitri 2018 untuk rakyat Terengganu dibuka bermula esok hingga 30 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata rakyat Terengganu mempunyai masa seminggu untuk mengisi permohonan itu menerusi laman web iDANATTB

"Bagi permohonan baharu atau mengemas kini data peribadi (bagi permohonan sedia ada) ia boleh dibuat dalam tempoh seminggu dengan mengisi borang secara online di laman web iDANATTB.

"Mana-mana rakyat Terengganu yang tidak dapat mengisi borang menerusi online, mereka boleh mengisi maklumat berkaitan di Pusat Bestari.com atau hadir ke Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau berkata syarat permohonan adalah sama seperti sebelum ini iaitu warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah.

Katanya bantuan itu akan diagihkan seminggu sebelum perayaan Aidilfitri.

Dalam pada itu kerajaan baharu negeri pimpinan PAS juga katanya akan menunaikan dua manifesto pilihan raya umum ke-14 parti itu iaitu menganjurkan perkahwinan percuma kepada pasangan yang kurang berkemampuan serta menangguhkan bayaran pinjaman Yayasan Terengganu bagi tempoh Jun dan Julai.

Oleh yang demikian, Satiful Bahri berkata kerajaan negeri akan meneruskan program Perkahwinan Perdana 2018 untuk siri kedua tahun ini yang dijangka dilangsungkan November depan.

"Untuk siri yang pertama, permohonan itu telahpun ditutup dan dijangka majlis perkahwinan akan diadakan di (kawasan) DUN (Dewan Undangan Negeri) masing-masing bermula 25 Jun ini.

"Bagi pasangan yang tidak berkesempatan mendaftar untuk siri pertama, mereka boleh mengisi permohonan untuk Perkahwinan Perdana siri kedua sekarang bagi majlis yang akan dilangsungkan pada November depan,’ katanya.

Menurutnya, pasangan yang berminat boleh mengisi borang di lawan web Yayasan Pembangunan Keluarga atau di pusat khidmat ADUN masing-masing.




-- BERNAMA