Ahad, Mei 06, 2018

POLIS SIASAT DAKWAAN AMRAN AHMAD

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan anggota seumur hidup DAP Amran Ahmad mengenai parti pembangkang itu cuba menyebarkan propaganda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ia susulan laporan polis yang dibuat Amran di Balai Polis Pudu di sini, baru-baru ini.

"Sebelum kita bertindak melakukan tangkapan, serbuan atau tindakan lebih lanjut, kita akan mengambil keterangan Amran dalam masa terdekat.

"Kita tidak mengira parti politik mana. Dalam hal ini, (kita) memang memandang serius aduan itu kerana ia boleh mengancam keselamatan negara dan demokrasi berparlimen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program 'Walkabout' Pencegahan Jenayah Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.


Sementara itu Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh berkata DAP hanya mahu kuasa politik sehingga sanggup menfitnah dan mempergunakan pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang bagi menjayakan agenda mereka.

Beliau berkata ramai anggota DAP Melayu juga bertindak keluar parti itu selepas menyedari parti chauvinis itu hanya mahu undi orang Melayu untuk menang dalam pilihan raya.

Justeru, katanya, parti itu mempergunakan pemimpin Melayu antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu.

"Seorang demi seorang anggota DAP dalam kalangan orang Melayu mendedahkan bahawa parti itu sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan BN," katanya ketika mengulas pendedahan Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Pusat, merangkap Pemikir Publisiti Pengundi Melayu DAP, Amran Ahmad.

Amran dilaporkan berkata DAP menjalankan propaganda jahat dan menyebarkan fitnah terancang menggunakan nama gabungan pembangkang PKR dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Noh berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Rakyat Sejahtera dan Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini, hari ini.