Selasa, April 03, 2018

ROAD TO MAHA ZON UTARA KUTIP JUALAN RM250,000

TELUK INTAN, 1 April (Bernama) -- Pameran Road To MAHA (Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) 2018 Zon Utara mencapai hasil jualan kira-kira RM250,000 sepanjang dua hari ekspo itu berlangsung.

Road To MAHA 2018 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini, disertai kira-kira 100 usahawan dengan kebanyakannya adalah wanita.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata ekspo itu turut mencatatkan kehadiran 60,000 pengunjung, melebihi sasaran 25,000 orang.

"Jualan tertinggi ialah kluster sajian makanan popular di Empayar Makanan iaitu sejumlah RM103,000, kios makanan pula sebanyak RM50,000 manakala bagi florikultur mencatatkan kira-kira RM20,000.

"Sambutan daripada pengunjung amat mengalakkan sekali gus mengatasi jumlah pengunjung Road To MAHA sebelum ini yang diadakan di Lundu, Sarawak iaitu kira-kira 24,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konsert Gegar Peladang bersempena Road To MAHA Zon Utara di perkarangan Dataran Menara Condong, di sini malam ini.

Tajuddin berkata pihaknya menjangkakan kehadiran pengunjung meningkat pada penganjuran seterusnya di Kemaman, Terengganu pada Khamis ini.

Road to MAHA bertujuan membawa kemeriahan MAHA 2018 kepada rakyat di seluruh negara sebelum kemuncak berlangsungnya ekspo pertanian terbesar itu dari 22 Nov hingga 2 Dis depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

Antara yang menarik sepanjang ekspo itu ialah jualan pelbagai hasil tempatan termasuk bahan segar seperti ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan, jualan produk asas tani, juadah popular, trak makanan, kraf tangan serta promosi destinasi agro pelancongan.

-- BERNAMA