Selasa, April 03, 2018

RAZIF SEDIA BERTANDING KERUSI PARLIMEN

KUALA BERANG, 3 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melahirkan kesediaannya untuk bertanding di peringkat Parlimen sekiranya diarahkan oleh pucuk kepimpinan parti UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-14 nanti.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu berkata terpulang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan dimana-mana sahaja beliau akan dicalonkan nanti asalkan UMNO dan BN memenangi pilihan raya nanti.

"Kita sebagai pemimpin yang setia dengan kepimpinan utama parti merasakan ia sesuatu yang tidak menjadi masalah. Sekarang semua itu terpulang kepada presiden parti menentukan sebagai pemimpin utama dimana kita akan akur dengan apa sahaja keputusan yang akan beliau ditentukan ..saya tidak ada masalah..semua saya serah atas kebijaksanaan beliau.

"Kalau betul saya ke parlimen saya akan bersedia, kalau ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sekalipun pun saya bersedia,..dimana-mana DUN pun tidak mengapa..saya bersedia...yang penting sekarang kita ingin menang," katanya ketika mengulas mengenai desas-desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Nusa Idaman dan KP Square di Kampung Kuala Ping di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Sdn Bhd, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Pengerusi SPNB Idaman Sdn. Bhd, Datuk Seri Ahmad Kabit.