Khamis, Julai 13, 2017

SEBAT DI KHALAYAK RAMAI DI KELANTAN TIDAK JEJASKAN PELANCONG

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam, tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Kelantan pada masa ini bukan tergolong dalam negeri-negeri yang kerap dilawati oleh pelancong di negara ini.

Malah jelasnya pindaan itu yang antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai hanya melibatkan orang Islam sahaja.

"Kalau pelancong takut ke Kelantan, mereka boleh melawat ke tempat lain, banyak lagi tempat menarik boleh dilawati seperti Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Nasional Malaysia Rumah Keduaku, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud antara lain membabitkan hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan zina, silap menuduh zina, liwat dan meminum minuman keras dalam kalangan umat Islam.

-- BERNAMA