Khamis, Julai 13, 2017

HASIL SENI YANG HEBAT DI TUJUH STESEN MRT



KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Tujuh buah stesen bawah tanah Aliran Transit Massa (MRT) bagi fasa kedua meliputi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang bakal dibuka Isnin depan kelihatan begitu unik dengan hiasan hasil seni yang hebat.

Ia dibuat sebegitu rupa untuk mengujakan para pengguna beserta reka bentuk arkitektur yang mengagumkan.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Datuk Najmuddin Abdullah, pengguna MRT akan dapat menikmati keindahan tujuh buah stesen daripada 19 buah stesen fasa kedua itu, yang reka bentuk setiap stesen adalah berbeza dengan stesen yang lain yang kesemuanya menggambarkan unsur kehidupan rakyat Malaysia.

Bermula dengan stesen Muzium Negara, diperlihatkan evolusi mode pengangkutan awam Malaysia daripada bas, teksi hingga keretapi selain nostalgia orang ramai menggunakan pengangkutan tersebut.






"Di stesen Muzium Negara berdekatan stesen KL Sentral, kita boleh melihat pada setiap tiang gambar teksi, bas dan keretapi dari generasi lama hingga sekarang," kata Najmuddin kepada Bernama.

Beliau berkata di stesen Pasar Seni pula yang menghubungkan laluan LRT Kelana Jaya, ia mempamerkan aspek kebudayaan, seni dan kraf bagi mempromosikan warisan budaya negara melalui visual.

Aspek patriotisme juga tidak dilupakan apabila elemennya diperlihatkan pada Stesen Merdeka yang terletak berhampiran Stadium Merdeka.






Najmuddin berkata di situ terdapat mural yang mempelihatkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mengangkat tangannya ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara.

"Kita tahu dinding itu akan menjadi popular dengan pengguna apabila stesennya dibuka. Setiap rakyat Malaysia pasti akan berselfie dan berwefi pada dinding itu," katanya.

Beliau berkata di Stesen Bukit Bintang, suasananya menggambarkan kedinamikan dan keceriaan kawasan persekitaran Bukit Bintang sebagai hab perniagaan utama.

Stesen itu direka bentuk dengan hasil seni berwarna merah bagi menggambarkan kedinamikan, katanya.

"Sebelum ini ia seolah-olah mimpi negeri untuk kita memasuki Bukit Bitang dari segenap arah, tapi kini MRT berada di tengah-tengahnya," tambahnya.

Najmuddin berkata konsep Perbadanan Islam pula diperlihatkan di Stesen Tun Razak Exchange yang menggambarkan suasana kontemporari, formal serta korporat selari dengan usaha kerajaan untuk mempromosi negara sebagai dunia korporat Islam.

Dua stesen terakhir iaitu Cochrane dan Maluri mewakili pula kehidupan bandar dan generasi baharu dengan nukilan seni kontemporari yang vibran, urban dan berisfat remaja, ujar beliau.

Namun setelah dihasi dengan karya-karya yang mengagumkan, MRT Corp tidak melupakan aspek keselamatan penumpang di stesen-stesen bawah tanah tersebut.

"Ia berada dalam kelas terbaik dan berteknologi paling canggih," kata Najmuddin.

Beliau berkata sistem keselamatannya membolehkan sebarang kecemasan ditangani dengan segera dan efisien yang kesemua stesen dilengkapi sistem memadam kebakaran automatik selain sistem siaraya untuk memudahkan penyuraian penumpang secara beramai-ramai.

Menurut Najmuddin, stesen bawah tanah bagi Laluan SBK mengutamakan peralatan teknologi hijau bagi menjana kecekapan tenaga di samping tidak melupai keselesaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

"Pintu tiketnya cukup luas hingga membolehkan penumpang berkerusi roda mudah melaluinya, terdapat juga elevator dari paras bawah hingga tingkat konkos dan platform, tanda huruf braille pada butang lif serta laluan tanpa bertangga," katanya.

Beliau berkata setiap stesen turut disediakan pembantu yang mencukupi, sistem kawalan keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon khas untuk mendapatkan bantuan.

Fasa pertama meliputi 21 kilometer daripada Sungai Buloh hingga Semantan yang merangkumi 12 buah stesen telah beroperasi Disember tahun lalu.

Laluan SBK yang bernilai 23 juta ringgit meliputi jajaran sejauh 51 kilometer daripada Sungai Buloh hingga Kajang bagi kegunaan 1.2 juta penduduk untuk menghubungi rumah mereka dengan destinasi di pusat bandar raya.

Setiap trennya mempunyai emat gerabak yang boleh membawa 1,200 penumpang bagi setiap perjalanan dengan anggaran kira-kira 400,000 penumpang sehari menerusi kekerapan tren setiap 3.5 minit.

Betapa bangga rakyat Malaysia terutama di ibu kota yang memiliki sistem MRT canggih dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

-- BERNAMA