Ahad, April 16, 2017

ZAHID RASMI AKADEMI PENGAJIAN ALQURAN YANG BELUM ADA PELAJAR?

SEMPORNA, 16 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangunan duniawi dan ukhrawi perlu dilaksanakan secara seimbang demi keharmonian hidup masyarakat, khususnya masyarakat Islam.

Beliau berkata menyebarkan ilmu sama ada ilmu akademik, al-Quran, aqli dan naqli secara meluas merupakan satu daripada pendekatan merealisasikan perimbangan antara pembangunan duniawi dan ukhrawi.

"Dalam keadaan ini saya ucapkan tahniah kepada wakil rakyat Bugaya Datuk Ramlee Marahaban yang komited mewujudkan Akademi Pengajian al-Quran Semporna (APAQS) walaupun kita sendiri bukan tenaga pengurus dan pengajar tetapi ilmu yang dimanfaatkan itu adalah salah satu peninggalan kita.

"Sebab apabila kita meninggalkan dunia hanya tiga perkara sahaja yang ditinggalkan (yang bermanfaat) iaitu amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan serta anak soleh," katanya ketika berucap merasmikan APAQS di Mukim Bugaya di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ramlee dan wakil rakyat Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.


Menurut Ahmad Zahid, ramai yang memberi amal jariah namun jika bersikap riak maka amal itu sia-sia dan tidak mendatangkan pahala.

"Tetapi kalau kita ikhlas 'tangan kanan memberi dan tangan kiri tidak mengetahui' itulah yang terbaik dan saya mengingatkan kepada semua, lakukan amal jariah dengan niat yang betul dan yang mengetahuinya hanya Allah Taala," katanyai.

Beliau berkata ilmu yang dimanfaatkan harus diuar-uarkan supaya diketahui oleh umat Islam yang lain dan pemberitahuan itu bukan bertujuan untuk bersifat riak atau takbur.

"Ilmu yang dimanfaatkan akan menimbulkan gandaan manfaat yang pelbagai...usaha mewujudkan APAQS ini merupakan usaha yang baik kerana ilmu itu terus dimanfaatkan," katanya.

APAQS yang ditubuhkan dengan kerjasama Institut Akademi Pengajian al-Quran (IPAQ) bertujuan untuk membantu mengajar membaca al-Quran dalam waktu singkat iaitu 20 jam.

Kewujudan APAQS sekali gus diharap dapat melahirkan lebih ramai qari dan qariah serta para tahfiz di Sabah.

-- BERNAMA