Sabtu, Januari 07, 2017

MAMPUKAH SEPUPU NAJIB SELAMATKAN FELDA?

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata, pelantikan Shahrir yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementerian, adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan FELDA.

"Saya yakin beliau dapat meneruskan segala usaha yang sedang dibuat bagi mensejahterakan lagi warga FELDA," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Najib, Shahrir pernah menyandang jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan.

Perdana menteri dalam kenyataan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Isa terhadap sumbangannya kepada FELDA sejak memegang jawatan itu pada 2011.

Najib berkata di bawah kepimpinan Mohd Isa, FELDA telah menjayakan banyak aktiviti kemasyarakatan serta program-program bagi meningkatkan kualiti hidup peneroka dan keluarga.

Beliau berkata Mohd Isa yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi Felda akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

"Di bawah penyusunan ini, adanya pembahagian tanggungjawab iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka dan perniagaan FELDA," kata perdana menteri.

Ulasan saya,  FELDA memang lubuk buat duit. Isa Samad yang didapati bersalah dengan politik wang setelah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dapat nyawa baru apabila dilantik sebagai Pengerusi FELDA. Dalam satu deal FELDA beliau menerima komisen sebanyak RM150 juta.

Memang hebat Isa. Peduli apa dengan nasib peneroka FELDA asalkan beliau kaya. Di saat FELDA mahu nazak barulah Najib melantik Shahrir sebagai Pengerusi FELDA yang baharu.

Pengalaman Shahrir dalam kerajaan memang cemerlang tetapi mampukah sepupu Najib ini menyelamatkan FELDA yang hancur imejnya di bawah Isa Samad?

Shahrir seorang pengkritik vokal di zaman Dr Mahathir dilantik semula menteri di zaman Pak Lah menjadi PM (2003-2009). Apabila sepupunya sebelah Tun Razak menjadi PM, beliau berundur dari kerajaan. Kini Najib memerlukan perkhidmatan Shahrir semula maka Shahrir akan membetulkan FELDA. Soalnya dalam waktu menjelang PRU akan datang mampukah Shahrir menyelamatkan FELDA?