BERA, 11 Dis (Bernama) -- Penyebaran surat layang membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan fitnah semata-mata bagi memecah-belahkan perpaduan UMNO yang kini semakin kukuh.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan pihak tertentu menyebarkan surat itu menunjukkan mereka berasa goyah dengan keutuhan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan anggota UMNO sekarang.
"(Perpaduan) UMNO sekarang semakin padu sebab kumpulan yang tidak setia dengan parti sudah keluar UMNO dan menubuhkan parti baharu...dulu ada kumpulan yang suka menikam daripada dalam, seperti gunting dalam lipatan.
"Apabila kumpulan ini sudah keluar parti, yang tinggal sekarang 100 peratus anggota UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak) yang mana kesemuanya bersatu, perpaduan begitu kukuh dalam kalangan (anggota) UMNO kerana kita hanya ada satu pasukan, tidak ada opasukan lain lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan persekolahan 2017 kepada pelajar dan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 di bawah Parlimen Bera di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas tentang penyebaran surat itu menerusi media sosial yang kononnya ditandatangani Ahmad Zahid untuk mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata penyebaran surat berkenaan tidak akan sesekali berjaya memecah-belahkan UMNO serta tidak akan menggugat keakraban hubungan yang sudah lama terjalin antara Ahmad Zahid dengan Najib.
"Sejarah UMNO pun menunjukkan (hubungan) timbalan perdana menteri sangat akrab dengan perdana menteri kita antaranya Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Najib (Tun Razak) suatu ketika dahulu," katanya.
Katanya beliau yakin kesemua anggota UMNO tidak akan terpengaruh dengan penyebaran surat berkenaan memandangkan mereka sudah pun bijak menolak segala perkara tidak benar yang boleh memecah-belahkan perpaduan dalam UMNO.
Seramai 6,500 pelajar dari Parlimen Bera menerima sumbangan persekolahan berkenaan.
-- BERNAMA