Isnin, Ogos 01, 2016

PARTI MAHATHIR AKAN BUAT BN LEBIH BERJAYA

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Parti baharu yang akan ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi UMNO dan Barisan Nasional (BN) persaingan untuk menjadi lebih berjaya, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yang menyambut baik langkah Dr Mahathir berkata negara seperti Jepun dan Jerman cemerlang kerana mereka terpaksa berjuang untuk terus hidup manakala empayar seperti Britain semakin menghilang akibat kemusnahan dan bersikap puas hati.

"Kadang-kadang persaingan adalah baik apabila ia membuat anda sedar, melainkan jika anda
bersemangat dan bekerja lebih keras anda menghadapi risiko kekalahan.

"Jadi mungkin Mahathir sedang menolong UMNO dan Barisan Nasional dengan menawarkan kami beberapa persaingan kerana persaingan sentiasa baik untuk mengecapi kejayaan," katanya dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com.

Bendahari UMNO yang baru dilantik itu bagaimanapun berkata, keputusan Dr Mahathir membuktikan pendiriannya dengan jelas bahawa beliau tidak berusaha untuk menyelamatkan UMNO, sebaliknya memusnahkan parti berkenaan.

"Dr Mahathir akhirnya mengakui bahawa satu-satunya cara untuk mengubah kerajaan adalah melalui pilihan raya umum. Sudah pastinya, Mahathir tidak akan mengakui bahawa beliau sedang berusaha untuk menukar kerajaan.

"Beliau mendakwa, beliau hanya berusaha untuk membuang Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak untuk menyelamatkan UMNO, Barisan Nasional dan Malaysia.

"Adalah pelik, Seseorang mahu menyelamatkan parti yang didakwa masih menyayangi parti berkenaan dengan berusaha untuk memusnahkannya. Ia seperti mengatakan bahawa anda mahu menyelamatkan manusia dengan memusnahkan dunia," kata Salleh.

-- BERNAMA