Rabu, Ogos 24, 2016

BERSATU DICABAR TANDING SEMUA KERUSI





KUALA LUMPUR - “Jika Bersatu rasa mereka kuat, lebih baik bertanding di semua kerusi.”

Itu reaksi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai perancangan Bersatu untuk bertanding di kawasan Umno lemah.

Beliau berkata, usaha Bersatu itu pasti mendapat tentangan parti pembangkang lain.

“Saya percaya semua kerusi yang Umno menang adalah kerusi majoriti Melayu dan turut ditandingi PKR dan Pas. Setiap parti pun pasti rasa ada peluang untuk bertanding di kerusi yang sama.

“Akhirnya, pembangkang akan bertelagah rebut kerusi. Contohnya, PKR sudah bekerja keras untuk sesebuah kerusi, jadi tak mungkin mereka akan beri laluan mudah kepada parti baru ditubuhkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penganugerahan syarikat dan koperasi terbaik tahun 2015 Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, di sini, semalam.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Bersatu akan memberi tumpuan bertanding di kawasan Umno lemah.

Menurut Ismail Sabri, perebutan kerusi sesama pembangkang boleh menyebabkan pertandingan beberapa penjuru.

“Kalau itu berlaku seperti di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, sudah tentu peluang lebih baik kepada Umno,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan pengisytiharan harta pegawai kementerian kepada umum, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, ia tidak perlu.

“Kalau nak dedah kepada umum, tidak boleh. Itu tanggungjawab kita dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau pembangkang nak dedah kepada umum, mereka kena buat dulu. Bukan setakat isytihar harta saja,” katanya.