Khamis, Ogos 25, 2016

ANTARA BISIK BISIK DAN BISING BISING

Malam tadi Bernama TV melalui Astro 502 menyiarkan program Ruang Bicara yang menampilkan dua tokoh muda dari Sabah, Ketua Belia USIA, Jamawi Jaafar dan penulis buku politik Sabah, Musli Oli.

Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia banyak memuji PM, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru tujuh tahun menjadi PM lebih banyak melawat Sabah dari Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi PM selama 22 tahun.

Beliau juga memuji kesungguhan Najib memenuhi permintaan para pemimpin Sabah dan Sarawak dalam membangunkan kedua-dua negeri tersebut yang jauh ketinggalan dari Semenanjung. Seperti kata Musli, keretapi di Sabah teruk dan daif berbanding dengan keretapi di Semenanjung.

Jamawi yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Shafie Apdal tidak menyentuh bekas bossnya itu sebaliknya Musli berkata agak janggal Shafie membangkitkan slogan Sabah For Sabahan sedangkan selama ini beliau di dalam Umno tidak pernah membangkitkan isu Sabah.

Katanya, pada tahun 1985, PBS yang membangkitkan isu Sabah For Sabahan dan ia dibawa oleh Bumiputera bukan Islam dan apabila isu ini dibawa oleh Shafie ia agak janggal.

Malah Musli yang juga bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kota Belud optimis Shafie tidak akan berjaya menumbangkan BN walaupun beliau memimpin parti yang berasaskan Sabah kerana Shafie bukannya pemimpin negeri tetapi beliau lebih dikenali sebagai pemimpin persekutuan.

Musli juga mencadangkan supaya Perjanjian Malaysia dikaji semula kerana sudah lama cadangan untuk mengkajinya terbantut. Sepatutnya ia dikaji pada tahun 1973 tetapi ketika itu TPM,Tun Dr Ismail meninggal dunia dan Tun Razak meninggal dunia tiga tahun kemudian. Sudah 43 tahun ia tidak dikaji semula.

Status Sabah dan Sarawak tidak sama dengan status negeri lain di Semenanjung kerana Sabah, Sarawak dan Malaya yang membentuk Malaysia.

Musli juga secara sinis menyindir apa guna Sabah ada enam menteri kalau Sabah masih mundur. Katanya, Sarawak lebih tegas dalam isu autonomi kerana PRN Sarawak maka Tan Sri Adnan Satem kena bersuara lantang untuk membunuh suara pembangkang di negeri tersebut.

"Tetapi di Sabah ada Umno, pemimpinnya boleh bisik bisik dengan PM dan tak perlu bising bising seperti di Sarawak. Dalam bisik bisik ini nampak pemimpin Sabah lebih lembut dan tidak tegas seperti pemimpin Sarawak," katanya.

Siaran Ruang Bicara selama satu jam itu dikendalikan oleh Sharkawi Jirim dan kedua tokoh ini mampu menjadi pemimpin pelapis di Tenom dan Kota Belud pada PRU akan datang.