Sabtu, Ogos 06, 2016
AHLI UMNO PERLU BIJAK NILAI MOTIF PARTI BAHARU
KUALA KETIL, 5 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO perlu bijak menilai motif perjuangan kepimpinan parti baharu yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak terpengaruh untuk menyertai mereka.
Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pihaknya percaya kepimpinan parti baharu itu sudah tentu berusaha mempengaruhi anggota UMNO di peringkat bahagian dan cawangan bagi mendapatkan sokongan.
"Kita kena tengok apa motif mereka, mereka dahulu bersama kita (UMNO) dan kita tengok apa yang mereka ucapkan ketika dalam parti kita...apabila keluar parti, apa yang mereka katakan sekarang.
"Tun Mahathir sendiri menjadi Perdana Menteri kerana UMNO dan terhutang budi dengan UMNO, sekarang beliau bercerita benda yang salah yang dia kata UMNO harus disingkir hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita UMNO Bahagian Baling di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Wanita bahagian Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata anggota UMNO juga perlu menilai serta tidak menerima bulat-bulat setiap maklumat yang diterima khususnya dalam media sosial, yang bertujuan mempengaruhi pemikiran mereka.
Beliau berkata musuh parti akan menjadikan pemimpin tertinggi negara sebagai sasaran dengan menyebarkan pelbagai fitnah bagi menggugat keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.
"Fitnah di media sosial ini umpama surat layang moden dan kita harus hati-hati supaya mereka tidak dapat merosakkan perpaduan dalam kalangan kita," katanya.
Dalam perkembangan lain, Salleh meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung aktiviti kumpulan militan Daesh dalam usaha mengekang kegiatan keganasan di negara ini.
Katanya kerajaan telah mengambil tindakan menyekat laman sesawang dan blog yang mempunyai unsur keganasan, namun tidak dapat memantau secara keseluruhan berikutan perkembangan teknologi masa kini.
"Ancaman militan Daesh ini amat serius dan perlu ditangani secara bersama," katanya.
Di KOTA BAHARU, mengulas perkara yang sama Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata UMNO dan parti komponan lain dalam Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran daripada parti pembangkang dan parti baharu yang dipelopori Dr Mahathir itu.
Beliau berkata siap sedia itu bukan hanya ketika menghadapi pilihan raya malah pada hari biasa.
"Pada saya sebagai sebuah negara demokrasi, kita tidak ada masalah, kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk tubuh parti baharu kerana itu hak dalam demokrasi di sesebuah negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian, hari ini.
Di MACHANG, mengulas perkara sama, seorang lagi Anggota MT UMNO Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti baharu itu bukan sebuah parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat sebaliknya ia hanya memperjuangkan kepentingan diri.
"Sejarah telah membuktikan, sebesar mana bilangan pemimpin yang keluar dari UMNO dan menubuhkan parti baharu bertujuan untuk menjatuhkan pucuk kepimpinan sedia ada, ia tidak mungkin diterima oleh semua rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bahagian Machang, hari ini.
Hamzah percaya rakyat sudah boleh mengetahui dan menilai agenda perjuangan parti baharu tersebut iaitu bukan perjuangan untuk membela nasib rakyat.
Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bagi sebuah negara demokrasi, tiada halangan bagi mana-mana pihak untuk menubuhkan sesebuah parti politik.
Walaupun penubuhan parti baharu itu adalah satu cabaran namun Gerakan tidak risau dengan perkembangan tersebut sebaliknya akan terus memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Mah berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Parti Gerakan Negeri Kelantan di Kota Baharu, hari ini.
-- BERNAMA