KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilantik sebagai Bendahari UMNO menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak jawatannya dalam parti pada Jun lepas.
Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Beliau memberitahu sidang akhbar: "Mesyuarat UMNO hari ini dimulakan dengan majlis mengangkat sumpah Bendahari UMNO baharu. Tahniah Datuk Seri Salleh."
Pada masa sama, presiden UMNO itu menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Husni yang, menurut beliau, telah sekian lama menjalankan tangungjawab sebagai Bendahari dengan begitu baik dan penuh integriti