Rabu, Jun 15, 2016

PENDEKATAN SEDERHANA MENJADI SENJATA BN


Oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)



Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada pihak yang masih menggunakan pendekatan ekstrim untuk mendapatkan simpati para pengundi ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar. Mungkin keadaan terdesak untuk meraih undi menyebabkan pihak-pihak ini sanggup melakukan apa sahaja termasuklah melanggar etika dan susila dalam pilihan raya.

Adakah taktik seperti ini  merupakan satu strategi yang berkesan?Apa yang pasti masyarakat sudah mula muak dengan pendekatan yang ekstrim, apatah lagi PRK ini akan berlangsung dalam Bulan Ramadan, bulan yang mulia.

Dan apabila taktik ekstrim digunakan, maka pastinya nafsu akan melebihi akal dan ketika itulah para pengundi dapat melihat belang sebenar pihak yang mengamalkan pendekatan ekstrim ini.Pihak seperti ini lebih mengutamakan populariti daripada berdepan dengan isu-isu realiti yang sepatutnya diberikan perhatian.
Itu sebabnya pendekatan sederhana yang diamalkan oleh Barisan Nasional  (BN) dalam PRK ini mendapat pujian daripada masyarakat di Sungai Besar dan juga di Kuala Kangsar. Kesederhanaan tidak bermaksud hanya bertahan dan membiarkan sahaja diri dibedal oleh pihak lawan.Kesederhaan juga bermakna melakukan serangan bila perlu tanpa mengorbankan nilai-nilai murni ketika berkempen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah  menjelaskan, walaupun BN mengambil pendekatan seperti ini, apa yang penting ialah mesej kempen dapat disampaikan dengan jelas kepada masyarakat dan para pengundi di Sungai Besar dan juga di Kuala Kangsar.

Menurut Zahid Hamidi lagi, "Kumpulan berbeza (parti bertanding) tentunya pendekatan yang berbeza. Tetapi kita yakin pendekatan itu perlu sesuai dengan citarasa tiap-tiap khalayak tumpuan,"

Pendekatan seperti ini dilihat lebih berkesan kerana para pengundi seperti tidak dipaksa untuk menyokong satu satu pihak itu. Bahkan dengan kaedah seperti ini, para pengundi dapat menilai dengan lebih mendalam akan calon-calon yang bertanding serta dapat mengkaji janji-janji yang dilontarkan kepada para pengundi.
Sebenarnya pendekatan sederhana ini bukanlah sesuatu yang baru . Jika kita lihat dan kaji semula pada pentadbiran di bawah kerajaan Barisan Nasional, maka pendekatan ini sebenarnya telah diamalkan oleh semua parti komponen Barisan Nasional sejak dari dahulu lagi. Bahkan  elemen kesederhaan serta persefahaman antara semua parti komponen BN merupakan kunci utama kepada kejayaan BN memerintah negara ini. Dan formula inilah yang terus digunakan oleh BN untuk terus memikat hati para pengundi di Sungai Besar dan juga di Kuala Kangar.

Dan berlandaskan semangat seperti ini, kita sendiri dapat melihat bagaimana seluruh warga jentera UMNO dan komponen Barisan Nasional di Selangor, seperti  MCA, MIC dan Gerakan begitu bersungguh sungguh dan  bersatu padu untuk memastikan kemenangan calon BN di kedua-dua kawasan parlimen ini.

Dalam hal ini juga Zahid Hamidi telah menjelaskan bahawa, kesepakatan jentera BN amat penting  untuk melawan semula isu-isu serta tohmahan dan dakwaan yang bakal dibawa oleh pihak pembangkang. Itu sebabnya Jentera Barisan Nasional (BN) perlu mengenepikan dahulu sebarang perbezaan pendapat tentang isu-isu tertentu dan menumpukan perhatian dan tenaga untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti.

Sebagaimana yang dijelaskan, masyarakat hari ini sudah muak dengan lambakan tohmahan yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang. Bahkan kesemua isu yang dilontarkan telah dibalas oleh jentera BN dengan begitu berkesan sekali. Masyarakat sudah mula mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku apabila jentera BN menjelaskan perkara sebenar ekoran daripada isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Walaupun tidak ada parti yang betul-betul dianggap sebagai “pasukan pilihan’ untuk memenangi PRK kali ini, namun kelebihan masih dimiliki oleh BN. Ini mungkin disebabkan oleh ketidaksefahaman dari segi pendekatan dan taktik berkempen antara parti-parti dalam Pakatan Harapan . Manakala PAS pula yang sukar untuk mendapat pengundi Cina dikatakan akan terus kecundang di kedua-dua kawasan parlimen ini.

Walaupun banyak lagi faktor yang boleh dibincangkan untuk menunjukkan kelebihan berpihak kepada BN, namun ini tidak bermakna calon-calon BN akan diberi laluan mudah untuk mengekalkan kedua-dua kerusi parlimen ini.

Apa yang boleh dilakukan ialah dengan mengamalkan terus sikap kesedahanaan ketika berkempen kerana inilah pendekatan yang merupakan kunci kepada kejayaan BN pada 18 Jun 2016 nanti.