(sudah disiarkan dalam Berita Minggu, 26 Jun 2016)
OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN
Mungkin berita pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari UMNO bukannya sesuatu yang memeranjatkan.Perkara ini sudah lama menjadi bualan umum dan hanya menunggu masa ianya disahkan. Sungguhpun begitu, pemecatan ini adalah sangat relevan memandangkan kerosakan yang bakal timbul jika dua tokoh ini terus kekal dalam UMNO
Dan disebabkan aura Euro 2016 dan Copa America yang serentak berlangsung ,sekali lagi penulis menggunakan frasa dalam bolasepak, “Tidak ada seorang pun yang lebih besar dari kelab”. Begitu juga dengan kedudukan Muhyiddin dan Mukhriz dalam UMNO.Tidak dinafikan mungkin mereka pernah menabur jasa dan bakti untuk UMNO, tetapi pada masa yang sama UMNO juga begitu komited dengan perjuangan parti dan hanya mahukan ahli-ahlinya yang setia dan sama-sama berjuang dengan UMNO walaupun dalam keadaan yang kritikal.
UMNO tidak perlukan pengkritik dalaman yang terus menghentam UMNO hinggakan serangan yang dilakukan ternyata menjurus secara peribadi, seolah-olah membayangkan mereka ini mempunyai agenda untuk meluaskan kuasa dalam UMNO , dan bukannya kerana untuk menyelamatkan UMNO. Apa yang nyata segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan telahpun dijawab dan mereka yang mengkhianati parti ini tidak ada lagi isu dan bahan untuk digunakan.
Walaupun Muhyiddin pernah memegang jawatan tinggi dan dikenali sebagai tokoh UMNO, namun selagi beliau dan Mukhriz berada dalam kapal UMNO, selagi itulah UMNO mengambil risiko akan berlakunya kekecohan yang boleh memberikan kesan terhadap kedudukan UMNO yang kini dilihat semakin mantap.
Apakah akan berlakunya kesan negatif terhadap kedudukan UMNO?. Tidak keterlaluan jika dikatakan pengaruh dan kedudukan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir tidak sebagaimana kedudukan dan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dipecat dahulu.UMNO berjaya menstabilkan kedudukan dan masih kekal sebagai parti yang paling unggul di negara kita.
Itu sebabnya ramai ahli UMNO tidak akan nampak pemecatan ini akan menggugat kedudukan UMNO walaupun masih ada risiko UMNO akan berpecah.Masih ramai ahli UMNO yang tidak mahu melihat apa yang berlaku pada tahun 1987 dahulu berulang lagi.
Selagi Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir berada dalam UMNO, maka selagi itulah terdapatnya risiko yang boleh membawa kepada perpecahan parti, sebagaimana krisis yang berlaku pada tahun 1987 dahulu di mana letika itu wujudnya Team A dan Team B.
Pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz juga sebenarnya merupakan usaha untuk terus memantapkan kedudukan UMNO. Kalau dahulu, setiap kali berlakunya mesyuarat , soalan yang sama akan dikemukakan oleh para wartawan, iaitu apakah tindakan yang bakal dikenakan pada Muhyiddin dan Mukhriz.
Kini pucuk pimpinan UMNO boleh melihat ke hadapan daripada membincangkan perkara yang sama. Mereka boleh menumpukan perhatian kepada penyatuan bangsa dan memainkan peranan yang lebih penting untuk membangunkan lagi negara ini.
Dan pastinya juga ahli-ahli UMNO serta masyarakat umum akan melihat UMNO sebagai sebuah parti yang tegas dan tidak berkompromi dalam soalan displin.Jangan salahkan UMNO mengambil tindakan seperti ini apabila terbukti Muhyiddin dan Mukhriz bersekongkol dan duduk di atas pentas pembangkang mengkritik kepimpinan negara dengan melontarkan pelbagai tohmahan yang tidak lagi relevan dan sudah basi apabila semua isu itu sudahpun dijelaskan kepada rakyat. Tindakan mereka juga menyebabkan UMNO terus terdedah kepada serangan pembangkang.
Sememangnya apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan sama sekali.Bagaimana Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bekerjasama dengan Muhyiddin yang ternyata tidak sehaluan lagi dengan barisan pucuk pimpinan UMNO.
Ahli-ahli UMNO tidak perlu risau kerana orang kanan Najib seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka ini akan bersama-sama berjuang bukan sahaja dengan Najib tetapi juga akan turun padang bersama dengan ahli-ahli UMNO yang lain tanpa mengira kedudukan dan pangkat.
Perkembangan yang terkini juga akan memberi peluang kepada Najib dan barisan pucuk pimpinan untuk kembali memulihkan kedudukan dan memantapkan parti untuk menghadapi cabaran yang lebih getir pada masa depan.
Inilah masanya untuk UMNO melihat ke hadapan dan jadikan pengalaman lama sebagai satu teladan dan pengajaran yang akan terus mematangkan UMNO sebagai sebuah parti yang paling mantap, dinamik dan unggul di negara kita.
Catatan gambar: Shahbudin (berkopiah) menyerahkan bukunya berjudul Najib, Leader of Transformation kepada PM, DS Najib Tun Razak