(Sudah disiarkan dlm Berita Harian)
OLEH SHAHBUDIN EMBUN
Tidak ada yang luar biasa dan mungkin sesuatu yang sudah dijangka. Begitulah yang dikatakan oleh beberapa rakan penulis apabila kami berborak sambil menikmati secangkir kopi, membincangkan tentang tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad yang keluar UMNO pada 29hb Februari 2016 yang lalu.
Adakah tindakan tokoh yang bergelar seorang negarawan ini akan menjejaskan UMNO? Jika dilihat dari ketokohan serta peranan yang dimainkan oleh beliau semasa menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, pastinya ini merupakan satu tamparan buat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apatah lagi, alasan yang digunakan oleh Mahathir ialah sebagai tanda protes kepada kepimpinan Najib.Perasaan tidak puas hati Mahathir terhadap Najib bukanlah satu rahsia lagi.
Berbalik kita kepada persoalan, adakah UMNO akan terjejas? Jawapan kepada persoalan yang dikemukakan ini sebenarnya terletak di bahu pucuk pimpinan serta ahli-ahli UMNO sekarang yang sama-sama berjuang dengan Najib.
Jika semua ahli UMNO terus berdebat tanpa berhenti dan meramalkan apa yang mungkin berlaku serta alpa dengan perjuangan parti, maka sememangnya parti ini akan terjejas kerana kita hanya akan dengar kata-kata tanpa melihat sebarang tindakan untuk memperkasakan parti..
Namun jika kesemua ahli UMNO terus berdiri reguh di belakang Presiden UMNO, maka UMNO tetap akan utuh dan tidak terjejas dengan apa pun tindakan Mahathir. Bahkan ada yang berpendapat, UMNO akan lebih padu kerana virus yang menyerang UMNO dari dalam sudah berhenti dan sekaligus menguatkan kembali sistem pertahanan UMNO yang agak goyah pada suatu ketika dahulu.
Kita tidak boleh meramalkan apakah tindakan Mahathir selanjutnya.Beliau merupakan seorang pakar atau sifu apabila mencorak langkah dan merancang taktikal dalam permainan politik yang penuh dengan sepak terajang. Pastinya juga, suara beliau akan lebih lantang dan lebih bebas untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya.
Sebagai sebuah negara demokrasi, Itu adalah haknya .Namun kelantangan, ketegasan dan kekerasan suara itu boleh dilentur dan diselubungi dengan pendirian dan semangat solidariti ahli-ahli UMNO yang terus berdiri menyokong Najib. Itu sebabnya sikap Najib yang tenang dan sabar dalam menghadapi isu ini perlu dipuji.Beliau tidak membuat serangan balas, bahkan lebih menumpukan kepada agenda untuk terus membangunkan negara kita Malaysia
Penulis tidak berminat untuk mengorek segala kejayaan dan kegagalan yang dilakukan oleh Mahathir semasa beliau memimpin UMNO dan negara dahulu. Segala yang berkaitan dengan isu ini telah menjadi pengetahuan ramai dan biarlah dibincangkan dalam forum yang berbeza.Apa yang pasti, jasa Mahathir selama ini akan terus dikenang.
Itu sebabnya juga keputusan beliau untuk meninggalkan UMNO perlu dihormati. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghormati tindakan Mahathir dan masih berharap bekas presiden UMNO ini mempertimbangkan semula keputusannya.
Pada masa yang sama juga Zahid Hamidi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya sentiasa mempertahankan dan mengukuhkan solidariti UMNO dengan terus memberikan kepercayaan kepada Najib .
Faktor kepercayaan ini adalah penting kerana kehebatan Mahathir semasa beliau berada di puncak kepimpinan dahulu adalah juga disebabkan oleh sokongan yang tidak berbelah bahagi serta kepercayaan rakyat dan ahli-ahli UMNO kepada Mahathir. Sebagaimana Mahathir di zamannya, Najib juga memerlukan sokongan padu seperti ini untuk terus memimpin negara ke arah kejayaan yang lebih gemilang.
Semakin hari rakyat semakin yakin bahawa Najib mempu mencorakkan masa depan Melaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.Lihat sahaja pada pelan Transformasi yang sedang diusahakan oleh beliau.Najib sedar ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Namun demi kesejahteraan rakyat, kestabilan politik serta kejayaan ekonomi, pelan ini perlu dilaksanakan dengan sokongan dari kita semua.
Perbincangan tentang tindakan Mahathir serta implikasinya kepada UMNO akan terus dibincangkan oleh masyarakat kita khasnya di kalangan ahli-ahli UMNO. Namun sebagaimana yang penulis jelaskan, jika ahli-ahli UMNO terus berbahas tentang perkara ini tanpa mengambil inisiatif untuk memperkasakan UMNO, maka ianya akan merugikan UMNO.
Ramai yang tahu lagu My Way nyanyian Frank Sinatra merupakan lagu kegemaran Mahathir. Mungkin sudah sampai masanya untuk Mahathir membiarkan Najib bersama pucuk kepimpinannya terus memimpin negara dengan lagu dan irama baru, sesuai dengan era sekarang yang jauh bezanya dengan zaman ketika Mahathir memerintah dahulu.