KOTA BELUD 2 Feb. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua anggota parti di peringkat akar umbi supaya menapis semua maklumat atau berita yang diperoleh, khususnya dari media sosial.
Beliau berkata, perkara itu sangat penting kerana maklumat yang diterima tidak semestinya benar dan hanya fitnah yang mahu menjatuhkan parti dan pucuk pimpinan.
“Jangan kita mudah terpesong dengan tipu muslihat dan pembohonganyang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab terutamanya pembangkang yang mahu menjatuhkan UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam meraikan kunjungan beliau ke daerah Kota Belud di Kampung Taun Gusi, dekat sini kelmarin.
Beliau berkata, sebelum ini ramai anggota parti di peringkat akar umbi terpesong kerana mempercayai fitnah yang dilemparkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, namun kini semua tuduhan itu telah terjawab dan ia hanyalah fitnah semata-mata.
Sementara itu, Ismail yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pada tahun ini pihaknya memberi tumpuan pembangunan masyarakat luar bandar khususnya golongan muda.
Beliau berkata, bagi tujuan itu pihaknya telah menyediakan pelbagai program termasuk pinjaman untuk memastikan golongan muda menceburi bidang keusahawanan, sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
“Oleh itu, kita berharap peluang yang diberikan oleh kerajaan melalui kementerian ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin... rebutlah peluang yang telah disediakan,” katanya.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kota Belud yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Timbalannya, Datuk Musbah Jamli yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah. – BERNAMA