Hujan tidak, ribut tidak tiba tiba semalam heboh dalam wasap grup di Terengganu senarai calon BN untuk PRU 2018 sudah keluar. Itu yang peliknya seolah-olah PRU sudah tiba sedangkan PRU ke 14 dijangka diadakan dua tahun lagi.
Bagi kerusi parlimen, BN Terengganu akan mengemukakan empat muka baru iaitu Aply bin Yusof di Kuala Nerus; Badrol Hisham bin Zaki di Kuala Terengganu; Zaidi Muda di Marang dan Din Adam di Dungun.
Manakala empat muka lama kekal iaitu Idris Jusoh di Besut; Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Setiu; Jailani Johari di Hulu Terengganu dan Ahmad Shabery Cheek di Kemaman.
Daripada lapan kerusi parlimen ini, tidak pasti BN dapat merampas berapa kerusi daripada PAS sekarang. PAS kini menang di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru di parlimen Kuala Terengganu di antara BN, PAS dan Amanah, peluang untuk BN menambah kerusi parlimen di Terengganu adalah cerah. Soalnya, sejauh mana kekuatan jentera PRU wakil rakyat Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah.
Bagi kerusi DUN pula, di Besut Ketua Bahagian, Nawi Mohamad digugurkan di DUN Hulu Besut diganti oleh Zahari Mat. Beliau yang juga EXco Kerajaan Negeri terpaksa digugurkan kerana beliau adalah orang bekas MB, Ahmad Said.
Manakala tiga wakil rakyat sekarang kekal di Kuala Besut (Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman); Kota Putera (Mohd Mahdi Musa) dan Jerteh (Mhmammad Pehimi Yusof).
Di parlimen Setiu,satu muka baru muncul bertanding di DUN Batu Rakit (Jailani Ngah) manakala tiga wakil rakyat kekal di Jabi ( Iskandar Jaafar), Permaisuri (Jidin Shafee) dan Langkap (Sabri Mohd. Noor).
Di parlimen Kuala Nerus, MB Terengganu, Razif Abdul Rahman kekal di DUN Seberang Takir manakala dua muka baru iaitu Basir Ismail di DUN tepuh dan Omar Adam di Teluk Pasu. Manakala calon kitar semula Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad yang kalah pada tahun 2008 akan bertanding semula di DUN Bukit Tunggal.
Sekarang di bahagian Kuala Nerus, hanya satu kerusi yang menang (Seberang Takir).Mampukah Razif selaku ketua bahagian merampas tiga kerusi DUN lagi?
Di parlimen Kuala Terengganu, BN akan menonjolkan tiga muka baru iaitu Zaki Mohd Noor di Wakaf Mempelam; Armi Irzan Mohd di DUN Bandar dan Nor Fadzil Mohamad Nor di DUN Batu Buruk manakala Wan Hisham Wan Salleh yang tewas pada tahun 2008 akan bertanding semula di DUN Ladang.
Di Marang, ketua bahagian A. Latiff Awang kekal di DUN Pengkalan Berangan manakala tiga muka baru bertanding di DUN Alor Limbat (Saiful Bahri Baharuddin); DUN Bukit Payong (Mohamad Nor Endut) dan DUN Rhu Rendang (Jasmira Othman).
Di Hulu Terengganu, dua wakil rakyat kekal iaitu Rozi Mamat di DUN Telemong dan Tengku Putera Tengku Awang di DUN Kuala Berang. Dua muka baru ialah Johari Abu Bakar di DUN Manir dan Rozita Ismail di DUN Ajil.
Di Dungun empat muka baru iaitu Azhar Jambol di DUN Bukit Besi; Mohd Asri Mohamad di DUN Rantau Abang; Mahusin Taib di DUN Paka dan Arlina binti Rosli di DUN Sura. Arlina merupakan calon tunggal wanita yang akan bertanding di negeri ini.
Di Kemaman, dua wakil rakyat kekal iaitu Rosli Othman di DUN Kemasik dan Wan Hakim Wan Mokhtar di DUN Air Putih. Di DUN Kijal, Roshali Taha menggantikan bekas MB, Ahmad Said dan Ketua Pemuda bahagian, Ahmad Fikry Ibrahim atau Bulat diamanahkan untuk merampas semula kerusi DUN Chukai dari tangan PAS.
Tidak dapat dipastikan siapa yang membuat senarai calon BN Terengganu ini. Apa motif beliau? Adakah beliau mahu 32 senarai ini terutamanya muka baru dikerat dari awal supaya calon sebenar akan muncul menjelang PRU akan datang?
Jika motifnya untuk memperkenalkan calon dari sekarang, sudah tentu ia merupakan langkah yang baik kerana dalam temph dua tahun ini pengundi dapat mengenali mereka dengan lebih dekat.