Oleh Shahbudin Embun
(dipetik dari Berita Harian)
Allahyarham Tun Abdul Razak bukan sahaja merupakan sumber inspirasi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya.
Begitu cepat masa berlalu dan kini sudah 40 tahun Allahyarham Tun Razak meninggalkan kita . Apa yang pasti, selama-lamanya jasa beliau akan terus dikenang oleh kita semua. Kini legasi tersebut diwarisi oleh Najib yang akan terus membawa cabaran negara pada masa depan.
Kita tidak boleh menghalang masyarakat daripada membuat perbandingan antara pemerintahan Allahyarham Tun Razak dan Najib . Saya pernah menulis bahawa disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan politik semasa, kemajuan teknologi, jumlah rakyat yang bertambah, faktor luaran, persekitaran dan masalah yang berbeza, maka bukanlah sesuatu yang adil jika perbandingan itu dilakukan.
Sungguhpun begitu , fakta yang tidak boleh diubah ialah Allahyarham Tun Razak telah meletakkan beberapa asas kepada pemimpin seterusnya untuk terus memajukan Malaysia . Dalam hal ini, Najib telah menjelaskan bahawa Model Ekonomi Baru (NEM) akan memperluaskan prinsip berasaskan merit yang tedapat dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
Manakala Dasar 1Malaysia pula adalah berpandukan pada prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan semasa pemerintahan Allahyarham Tun Razak.Begitu juga dengan hubungan Malaysia dengan China. Tun Razak telah memulakannya pada tahun 1974 dan kini hubungan tersebut terus berkembang pesat apabila China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia.
Jelaslah dalam beberapa tindakannya, apa yang dilakukan oleh Najib merupakan kesinambungan kepada usaha yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
Malaysia hari ini bukanlah seperti Malaysia 40 atau 50 tahun yang lalu. Begitu juga dengan cabaran hari, pastinya tidak sama. Apa yang penting ialah bagaimana Najib akan terus memimpin kita untuk bersama-sama mengharungi detik-detik yang paling mencabar agar kita semua dapat merasai kejayaan pada masa depan.
Apabila berbincang tentang keadaan ekonomi semasa, pastinya kita semua tahu bahawa keadaan ekonomi hari ini tidak menentu . Cabaran akibat penurunan harga minyak mentah dan komoditi yang berterusan serta pasaran kewangan yang tidak menentu merupakan antara cabaran yang perlu ditangani.
Dalam hal ini, Najib tidak menjanjikan bulan dan bintang, bahkan bersikap realistik dalam menghadapi cabaran ini.
"Saya tidak mahu menggula-gulakan rakyat dengan tidak berpaksikan pada realiti yang sebenar. Baiklah kita secara terus terang dan jujur beritahu bahawa tahun ini adalah mencabar," katanya.
Itu sebabnya juga Pengubahsuaian Bajet 2016 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi telah mengambi kira senario ekonomi semasa untuk lebih praktikal dan realistik dalam keadaan tahun 2016 yang lebih mencabar.
Najib juga telah menjelaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat dengan penuh komitmen agar ekonomi negara dapat merasai pertumbuhan yang positif. Kesemua ini dilakukan demi kesejahteraan rakyat sebagaimana yang telah menjadi aspirasi kepada Najib untuk melihat rakyat Malaysia terus dapat merasai kehidupan yang lebih selesa.
Sememangnya kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu menangani cabaran-cabaran ini dengan lebih responsif. Najib tahu akan pelbagai rintangan yang berada di depannya.Itu sebabnya juga Najib telah menjelaskan betapa pentingnya usaha-usaha dan tindakan yang lebih kreatif dan inovatif perlu dijalankan untuk mengoptimumkan kos tadbir dan memaksimumkan produktiviti.
Apa yang ingin dilaksanakan oleh Najib perlu mendapat sokongan yang sepenuhnya. Sebagai rakyat, kita juga perlu melakukan sesuatu dan apa kata kita semua bersama-sama meningkatkan kualiti dan produktiviti sepanjang tahun 2016 ini.
Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh Najib dan sebagai pewaris yang mewarisi legasi Allahyarham Tun Razak, Najib telah menjelaskan betapa pentingnya generasi hari ini meneruskan kecemerlangan para pemimpin terdahulu.
“Kita bawa negara kita ke arah kejayaan yang lebih tinggi, itulah cara yang terbaik bagi kita mengenang pemimpin-pemimpin terdahulu yang begitu banyak berjasa dan berbudi kepada kita.
“Kita bangunkan apa yang telah mereka bina, kita bawa ke tahap yang lebih tinggi,” begitulah kata-kata Najib yang boleh menjadi iktibar kepada kita semua. .