Isnin, Disember 14, 2015

MASA UNTUK MERAPATKAN BARISAN


Oleh Shahbuddin Embun

Sejak dari dahulu lagi, telah dijelaskan mengapa Umno mesti terus mengekalkan perpaduan yang menjadi salah satu tunjang kejayaan parti utama negara ini.Dan ketika Umno dilanda dengan pelbagai krisis dan isu yang telah membelenggu parti ini, ketika inilah juga Umno perlu lebih bersatu dan menunjukkan kredibilitinya sebagai parti yang akan terus memperjuangkan nasib anak bangsanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah beberapa kali mengingatkan ahli-ahli Umno supaya mementingkan parti dan bukannya mengejar agenda peribadi mereka yang boleh menggugat kestabilan dalam Umno.

Nampaknya gesaan ini telah mendapat perhatian tiga sayap utama dalam Umno apabila Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO terus berikrar untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menerajui parti dan kerajaan.  Inilah semangat solidariti yang dimaksudkan.

 Dengan berdiri di belakang presiden Umno, pastinya Umno akan mampu untuk menggerakkan segala perancangan dan program yang telah diatur agar Umno terus memainkan peranan penting sebagai parti yang paling utama di negara kita.Dalam hal ini, elemen kesetiaan memainkan peranan yang penting.

Dalam ucapan dasar pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015,Najib  telah menjelaskan yang beliau tidak pernah berniat untuk mengkhianati parti keramat ini.
“Saya seorang yang tidak confrontational... saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa... apatah lagi untuk mengkhianati parti UMNO tercinta ini,”

Itulah sebabnya juga Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sedang berlangsung , sepatutnya menjadi tempat yang paling sesuai untuk semua ahli Umno, tanpa mengira jawatan, memperbaharui ikrar bagi menunjukkan kesetiaan mereka pada parti dan memastikan Umno terus relevan  dalam persada politik di negara kita.

Biarpun terdapat beberapa isu  seperti 1MDB  dan dana politik RM2.6 bilion yang telah menyebabkan kerisauan dan keresahan di kalangan ahli-ahli Umno, namun sikap
keterbukaan Najib memperjelaskan polemik ini perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dan merupakan  satu tindakan bijak dan tepat untuk memperjelaskan apa jua kebimbangan dan keraguan di  kalangan ahli-ahli Umno.

Setiap pemimpin telah diuji dengan pelbagai cabaran. Dan begitu jelas sekali Najib sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Mungkin ada pihak yang mempertikaikan cara beliau mengendalikan isu-isu yang disebutkan tadi. Namun kita perlu melihat cara Najib mengendalikan isu dengan dengan penuh kewibawaan . Ketenangan yang ada pada dirinya juga menggambarkan beliau seorang pemimpin yang mampu menahan dan menongkah arus penentangan walaupun ribut taufan terus melanda.

Itu sebabnya juga ramai penganalis politik yang menyatakan semua isu dan polemik ini akan menjadikan Umno semakin matang. Lihat sahaja apa yang berlaku semasa Era Tun Mahathir di mana beliau ditentang oleh Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam.Timbul pula Team A dan Team B, dan kemudiannya pengharaman Umno pada tahun 1988. Begitu juga ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan dikatakan isu itu boleh meruntuhkan Umno. Namun sehingga hari ini, Umno terus mantap biarpun terpaksa melalui pelbagai cabaran.Apa yang penting ialah  sokongan padu dan kepercayaan penuh anggota parti terhadap pucuk pimpinan.

Dalam PAU kali ini, pastinya juga isu tentang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi tumpuan para perwakilan, khasnya apabila mereka bertemu di persidangan .Tidak ada salahnya untuk bincangkan isu ini di kalangan para perwakilan, namun apa yang lebih penting ialah membicarakannya dengan hemah dan tidak mengikut perasaan.Perlu diingatkan sekali lagi bahawa solidariti dalam Umno perlu dijaga dan dipelihara dengan baik.

Itu sebabnya saya tertarik dengan kata-kata Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti Umno boleh diibaratkan seperti rakit yang terbina daripada himpunan batang kayu terikat. Menurut beliau, ada ketikanya ,ada antara tali yang mengikat kayu itu terputus namun rakit berkenaan mesti dipertahankan.
"Tali ikatan jangan terputus agar kayu yang menjadi rakit itu tidak dihanyutkan air. Maka eloklah tali itu diikat semula.Biarpun ada tali putus, biarlah tali yang putus itu dihanyut air deras tapi rakit tidak tenggelam," Begitulah kata-kata Zahid yang penuh bermakna dan perlu difahami oleh ahli-ahli Umno.

Sememangnya jika isu yang berkaitan dengan Timbalan Presiden Umno dikupas dalam artikel ini, pastinya akan lebih sensasi dan menarik. Namun apa yang lebih penting untuk dibincangkan ialah tentang masa depan dan survival Umno sendiri. PAU yang berlangsung perlu mengambil kira apakah usaha dan perancangan yang diatur untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.Segala usaha dan program perlu diperjelaskan dengan terang dan teliti . Bukan itu sahaja, apa yang lebih penting ialah perlaksanaannya dan bukan sekadar berpuas hati dengan bergambar  sambil memegang cek atau merasmikan sesuatu program itu.

Pucuk pimpinan dan semua ahli Umno perlu bergabung tenaga untuk memastikan yang Umno mampu melaksanakan segala tenggungjawab dengan berkesan. Ingatlah bahawa cabaran yang lebih hebat ialah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno.Benar, dalam kita berasa yakin yang Umno masih merupakan parti tunjang utama untuk rakyat Malaysia, namun pada masa yang sama, Umno perlu melihat juga sentimen rakyat yang masih memiliki persepsi negatif  terhadap Umno.

Walaupun persepsi negatif ini disebabkan oleh maklumat yang diputerbelitkan oleh pihak pembangkang, namun Umno sendiri perlu bertindak dengan lebih proaktif dalam membina semula keyakinan rakyat terhadap parti itu.Mungkin ahli-ahli Umno perlu diingatkan tentang slogan parti iaitu  ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ .Slogan ini bukan dicipta begitu sahaja tetapi perlu dihayati oleh ahli-ahli Umno agar Umno terus kukuh dan utuh.

Dengan berbekalkan slogan ini, tentunya PAU kali ini boleh bergerak dengan memandang ke hadapan. Sebagaimana yang dijelaskan, inilah medan atau gelanggang untuk mengotakan segala janji yang sering dibuat pada pelbagai konvensyen atau forum yang dianjurkan oleh Umno baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Kehebatan ahli-ahli Umno berpidato dan membicarakan sesuatu isi itu tidak boleh dinafikan lagi. Namun segalanya tidak bermakna jika tidak ada perlaksanaan yang dilakukan.Dan pada PAU kali inilah segala janji dan tekad yang tertanam perlu diterjemahkan dengan sebaik baiknya.

Jasa Umno sememangnya amat  bermakna dalam mengisi kemerdekaan  serta memajukan negara yang kita cintai ini. Namun ini bukanlah masanya untuk seluruh ahli Umno terus berbangga dengan apa yang telah dilakukan. Apa yang lebih penting ialah untuk bersama sama memastikan Umno akan terus mendapat mandat untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan negara.