Retak sudah menanti belah. Sudah nampak tanda tanda kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan runtuh. Tunggu masa sahaja. Kelmarin seorang ketua cawangan DAP berani mendesak DAP Selangor beri kata dua kepada MB, Azmin Ali supaya memecat PAS dari kerajaan Pakatan Rakyat.
Seperti mana kata Azmin kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat yang diwakili PKR, DAP dan PAS yang menang dalam PRU ke 13. oleh itu tidak timbul kerajaan Pakatan Harapan yang diwakili PKR, DAP dan Amanah.
Jika benar DAP desak PKR buang PAS, maka kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang. Ini memberi kelebihan kepada BN yang boleh membentuk kerajaan dengan ADUN PAS. Jika BN tidak dapat memanfaatkan isu ini sebaik mungkin alangkah ruginya BN.
Inilah masa terbaik bagi BN melagakan DAP dengan PKR supaya pecat PAS. Jika PKR enggan pecat PAS, maka DAP dicadang keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat seperti kata Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong. Tetapi Naib Pengerusi DAP Selangor melihat cadangan ketua cawangan DAP itu menguntungkan BN.
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan tumbang bila-bila masa dalam suasana Azmin belum mengiktiraf Amanah dalam Pakatan Harapan. Azmin serba salah, Jika beliau mengiktiraf Amanah, PAS pula kecil hati maka pilihan terbaik kekalkanlah kerajaan Pakatan Rakyat yang diberi mandat oleh rakyat Selangor pada 2013.
BN Selangor hendaklah ambil kesempatan dari pertelagahan PAS dan DAP ini. Kalau pemimpin Umno masih tidak insaf, bergaduh sesama sendiri nampaknya pada PRU akan datang Selangor akan berada dalam kerajaan Pakatan Harapan pula. Sehubungan dengan itu wahai pemimpin Umno di Selangor kurangkan pergeseran sesama sendiri.
Jangan pentingkan diri. Pentingkan BN tidak kira siapa jadi calon. Biar pucuk pimpinan memilih pemimpin yang bersih, tidak rasuah, jujur dan amanah. Muka lama jangan diberi lagi jadi calon kerana muka lama itu sudah ditolak rakyat pada PRU akan datang. Mungkin ADUN Semenyih, Johan Abdul
Aziz yang layak jadi MB baharu jika BN dapat merampas negeri Selangor pada tahun 2018.