Shahbudin Haji
Embun
Kembalikan UMNO kepada rakyat kerana rakyat yang akan
menentukan masa depan UMNO. Dan sejarah lampau tentang kehebatan UMNO hanya akan tinggal catatan sejarah jika ahli-ahli UMNO
masih terus berkhayal dan berbangga dengan kehebatan UMNO.
Hakikatnya sekarang ialah UMNO kini berhadapan dengan
ujian kepercayaan di kalangan rakyat Malaysia.Ahli-ahli UMNO perlu diingatkan
bahawa hakikat ini merupakan sesuatu yang membimbangkan jika isu ini tidak dikendalikan dengan baik dan
bijaksana.
Memang mudah untuk menafikan kenyataan ini, namun pada
masa yang sama, ahli-ahli UMNO perlu juga berdepan dengan realiti dan tidak
boleh selama-lamanya bergantung pada sindrom penafian. Perhatikan sahaja keberanian generasi muda hari ini yang begitu selesa mencerca dan mengeji UMNO melalui
media sosial yang merupakan saluran utama generasi hari ini memperolehi
maklumat.
Apa yang pasti ,sebahagian besar generasi
hari ini tidak faham dengan sejarah dan sentimen perjuangan UMNO. Perlukah kita
menyalahkan mereka 100 peratus? Atau perlukah kita terus menafikan hakikat ini
dan menyatakan dengan yakinnya bahawa
generasi hari ini telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi
kepada UMNO.
Apa yang ingin dinyatakan dalam rencana ini adalah berkait dengan kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein Onn semasa berucap dalam Konvensyen Pemerkasaan Ummah
yang diadakan baru-baru ini, bahawa ahli-ahli UMNO semestinya tidak boleh
berterusan dengan sindrom penafian.
“Realitinya biar sekental mana pun ikrar dan sokongan
kita kepada pemimpin parti, kepada Majlis Tertinggi atau Perwakilan tetapi jika
rakyat tolak
kita maka UMNO tetap akan tewas”.Itulah yang dijelaskan Hishammuddin yang
begitu prihatin dan bimbang dengan survival perjuangan UMNO.
Apa yang dijelaskan oleh Hishammuddin menggambarkan
betapa pentingnya sokongan yang padu daripada rakyat kepada UMNO.Dengan
kata-kata yang lebih mudah, UMNO akan terpinggir, bahkan tersungkur jika rakyat
menolak UMNO. Dan ini adalah realiti yang harus difahami oleh seluruh ahli UMNO.
Menurut Hishammuddin lagi , semua krisis yang sedang
dihadapi oleh Umno mesti diselesaikan dengan penyelesaian Selain itu, seluruh pemimpin dan ahli UMNO perlu berganding bahu
dan menggalas tanggungjawab yang lebih berat untuk mengembalikan semula keyakinan
rakyat terhadap UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara.
Sememangnya UMNO sedang berdepan dengan ujian yang
amat getir dan itu sebabnya Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib
Presiden Datuk Ahmad Zahid Hamidi sering mengingatkan tentang betapa pentingnya
perpaduan dan solidariti dalam UMNO.
Najib sendiri pernah menegaskan betapa
pentingnya isu ini semasa merasmikan
Perhimpunan Agung UMNO 2014 ,bahawa setiap pihak perlu memastikan
kelangsungan solidariti kerana ia merupakan aset terpenting yang dapat menjamin
keamanan serta keharmonian Malaysia.
"Ini satu tindakan yang dilakukan
tanpa jemu oleh kerajaan kerana ia aset paling mustahak demi survival UMNO, BN
dan negara tercinta,"Jelas Najib
lagi.
Pendapat
Presiden UMNO ini juga sering diulangi oleh Zahid Hamidi yang pernah
menegaskan dan mengingatkan ahli –ahli UMNO tentang
betapa pentingnya perpaduan dalam UMNO kerana perpecahan di dalam parti itu
lebih mudah dilakukan dari dalam berbanding dari luar.
Itu sebabnya juga Konvensyen
Pemerkasaan Agenda Ummah 2015 yang dianjurkan UMNO baru-baru ini merupakan satu
usaha yang akan mencetuskan kembali semangat serta gerakan kesedaran ahli-ahli UMNO
khasnya.
Konvensyen yang merupakan hasil cetusan
idea Hishammuddin Hussein diharapkan dapat membuka ruang kepada kumpulan
berkepentingan untuk membahaskan pelbagai isu serta akan menjadi platform
terbaik untuk ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia sendiri menyatakan pandangan mereka
terhadap perkara yang perlu diberi perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO nanti.
Daripada konvensyen itu, sebanyak empat kluster
dipecahkan iaitu agama, ekonomi, pendidikan dan wanita. Inilah isu-isu yang
akan sentiasa menjadi perhatian dan
dibahaskan semasa perhimpunan Agung UMNO nanti . Dalam hal ini, Hishammuddin
juga memberi jaminan bahawa usul-usul
yang penting akan diangkat semasa Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan
diadakan pada bulan Disember ini.
Peluang untuk membahaskan isu-isu ini
perlu digunakan sepenuhnya oleh para perwakilan semasa Perhimpunan Agung UMNO
nanti.Inilah masanya untuk mereka menegur dan menyatakan pandangan dengan serius dan membuktikan segala hujahan yang
diberikan begitu relevan dengan isu yang dibincangkan. Tidak usahlah menjadi
sang penglipurlara atau hendak berseloka untuk mencuit hati para pemimpin dan
perwakilan dengan lawak jenaka yang tidak memberi sebarang pengajaran.
Adalah difahamkan juga konvensyen seperti ini akan dijadikan sebagai acara tahunan. Ini merupakan
langkah yang tepat kerana menerusi program seperti ini, pihak pucuk kepimpinan UMNO boleh mendapatkan
laporan serta maklum balas daripada peringkat akar umbi. Dan daripada maklumat
yang diperolehi akan membolehkan pucuk pimpinan membuat dan melaksanakan
pelbagai strategi dan perancangan untuk
mengatasi pelbagai isu atau masalah yang timbul dalam UMNO.
Hishammuddin juga menjelaskan lagi
bahawa "Konvenyen itu merupakan suatu gerakan yang boleh menginsafkan dan
menyedarkan bukan sahaja ahli parti tetapi pemimpin parti dan setiap lapisan
masyarakat di luar betapa pentingnya kita mengembleng untuk melihat masa depan
umat Melayu khususnya,"
Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan
diadakan pada 8 Disember hingga 12 Disember 2015.Inilah masanya untuk para pemimpin UMNO serta ahli-ahli Umno
membuktikan yang mereka bukan sahaja hebat dalam perdebatan isu, tetapi yang
lebih penting ialah melakukan sesuatu yang lebih positif ,agar perhimpunan atau
program –program yang diatur tidak dilihat secara retorik semata-mata tetapi
dibuktikan dengan usaha yang positif dan meyakinkan.