Saya dikecam oleh rakyat Sarawak melalui Facebook mereka apabila saya kata tindakan kerajaan Sarawak mahu menggunakan bahasa Inggeris di sekolah sebagai tindakan yang kembali ke zaman silam. dalam blog ini pada 6 November lalu baca http://catatanzabidi.blogspot.my/2015/11/nak-tarik-undi-cina-pun-jangan-kata-kl.html
Dalam soal ini saya sependapat dengan pendapat Dr Rais Yatim yang meminta Ketua menteri Sarawak, Adenan Satem mempertimbang kembali keputusan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri, demi perpaduan negara.
Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri
Dr Rais Yatim berkata langkah kerajaan Sarawak itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.
"Bukankah ini disintergrasi ataupun mencetuskan keadaan kita akan berpecah. Jadi dari segi kenegaraan saya sangat musykil pendirian kerajaan negeri (Sarawak) sekiranya nak diteruskan perkara ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Album Simfoni Daerah Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran Kelantan Zulkipli Salleh di Jabatan Penyiaran Kelantan di sini, Isnin.
Rais mengulas isu penggunaan Bahasa Inggeris, selain Bahasa Malaysia, sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan Negeri Sarawak seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata perkara itu seharusnya dibahaskan oleh sebuah konsensus dengan teliti sebelum diumumkan oleh Adenan kerana ia turut melibatkan Perlembagaan Malaysia.
"Dalam keadaan negara sekarang mencari jalan lebih utuh dan lebih kuat, (takkanlah) kita nak lari dan tinggalkan perkara ini yang akan menyebabkan kita jatuh kepada perangkap yang nanti kita tidak boleh keluar daripadanya.
"Malaysia tidak akan kuat dengan langkah ini (menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi di Sarawak)," katanya.
Album Simfoni Daerah Kelantan memuatkan 10 lagu yang dinyanyikan oleh dua penyanyi tempatan iaitu Megat Nordin dan Irahayu Ibrahim akan berada di pasaran dalam masa terdekat.
Ia diterbitkan hasil kerjasama Yayasan Warisan Negara, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Penyiaran Kelantan bagi menegakkan program budi di kalangan masyarakat dan membimbing masyarakat ke arah budaya bangsa.
-- BERNAMA