Sabtu, Ogos 29, 2015

WARKAH BUAT ANAK BANGSA, PEMANGKIN REVOLUSI NEGARA

oleh NURAFIDAH SHAHBUDIN
bekas felo perdana kepada bekas TPM, Muhyiddin  Yasin dan sekarang berada di University of Queensland, Australia
(dipetik dari 1Malaysia.com)
Ke hadapan generasi muda,
Wahai anak bangsa, engkaulah masa depan negara. Surat ini ikhlas daripada pemudi yang mencintai tanah airnya. Sekadar peringatan untukmu di masa hadapan; juga sebagai peringatan padaku agar terus berkobar semangatku berjuang demi Malaysia. Kemelut yang melanda pada masaku, mungkin akan terus diingati sehingga ke generasimu.
Wahai anak muda, 58 tahun dahulu kita telah mencapai kemerdekaan. Aku bukanlah generasi yang melalui fasa itu. Namun, jiwa merdeka itu tetap kurasai sebagai seorang warganegara. Mungkin jika kita kembali ke masa lampau, erti kemerdekaan pada kita adalah bebas daripada cengkaman penjajah. Suatu kebanggaan apabila akhirnya pemerintahan dipulangkan kepada empunya. Itu kisah 58 tahun yang dahulu. Kini, jika kau tanya padaku, apakah erti kemerdekaan bagimu, inilah jawapanku. Erti kemerdekaan bagiku adalah apabila kita bersatu hati, jiwa dan raga, membebaskan kita dari rantaian benci dan perkauman yang memecah-belahkan kita rakyat Malaysia, serta melemahkan negara. Tahun ke-58 kemerdekaan ini, pelbagai tragedi telah menimpa tanah air tercinta. Aku tidak sedikit pun malu untuk mengaku bahawa airmataku tumpah saban hari memikirkan nasib negara. Apatah lagi melihat perpaduan semakin goyah dek diapikan dengan pelbagai isu-isu sensitif yang berleluasa di media sosial dan media massa. Anak muda, aku faham api di jiwa mudamu yang mahukan perubahan. Aku juga sepertimu dikala ini. Darah mudaku bangkit mengharapkan perubahan demi kebaikan negara. Namun, aku tersedar bahawa aku terlepas suatu perkara penting dalam menjana perubahan.
Ubah!” “Tukar!” “Revolusi!”
Ya, aku faham laungan-laungan itu. Perkataan yang mudah tetapi memberi gambaran tentang harapan kita terhadap negara. Akan tetapi, sedarkah kita wahai anak muda, perubahan itu bermula daripada diri sendiri? Untuk kita mengubah dunia, kita haruslah bermula daripada unit paling hampir dengan kita iaitu diri kita sendiri. Konsep perubahan inilah yang menjadi intipati kepada pembinaan negara yang maju jaya. Namun kita selalu alpa. Yang kita pandang dan fokuskan ialah perubahan yang besar sahaja. Makanya, tepuk dada tanya selera. Pokok pangkalnya, kita. Adakah mampu kita membawa revolusi dan perubahan kepada tanah air jika diri kita masih ditakuk lama? Persoalan ini perlu kita jawab dengan telus dan penuh refleksi diri.
Anak muda, perubahan itu tidak mustahil. Jangan engkau berputus harapan kepada negara. Mungkin ada terpalit dihatimu untuk meninggalkan negara setelah krisis yang melanda. Kurayu padamu anak muda, jangan tinggalkan negara. Kitalah pemangkin di masa hadapan. Kitalah penyelamat tanah air tercinta. Jangan kau biarkan negara terus nazak dilanda duka. Perubahan mengambil masa. Sabarlah serta teruskan usaha untuk bangkit dan terus melangkah ke hadapan. Walaupun perit, haruslah kau sabar dan tidak mengaku kalah. Ingatlah akan pepatah, “biar berputih tulang, jangan kita berputih mata”. Teruslah cakna akan perkara yang berlaku di negara kita. Tuntutlah ilmu dan berusaha mencari formula untuk memulihkan tanah air agar terus berkembang pesat sehingga Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Aku juga sepertimu, mahukan perubahan. Namun ingat, kita harus mengubah dengan cara yang intelektual dan berhemah tanpa menimbulkan konflik yang akan memburukkan imej negara serta mencetuskan huru-hara.
Janganlah engkau lari daripada masalah. Jika bukan kita, siapa lagi yang mampu mempertahankan kemerdekaan ini? Kuseru semua agar terus bersatu hati dalam meneruskan perjuangan ini. Janganlah merugikan diri dengan berbalah sesama sendiri.
                                                                                          Nukilan ikhlas daripada,
             Seorang insan pencinta tanah air.