Khamis, Mei 21, 2015

SISTEM PEMILIHAN UMNO MENYELAMATKAN NAJIB?

(dipetik dari beritadaily.com 20 mei 2015)

Pada tahun hadapan Umno akan mengadakan pemilihan ahli majlis tertingginya bagi sessi 2016-2019. Akan tetapi seperti biasa Umno akan menangguhkan pemilihan itu sehingga selepas pilihanraya umum (PRU) 2018.

Inilah yang sering dilakukan oleh Umno kononnya untuk mengelakkan perpecahan dalam parti. Dr Mahathir Mohamad memulakan tradisi ini dengan tidak mengadakan pemilihan Umno pada tahun 1999. Sebaliknya mengadakan pemilihan pada tahun 2000 selepas PRU akhir tahun 1999.

Pak Lah meneruskan tradisi ini dengan mengadakan pemilihan Umno pada tahun 2004 selepas PRU tahun tersebut. Najib turut mengamalkan tradisi ini dengan mengadakan pemilihan Umno 2013 selepas PRU 2013.

Dalam ucapan perasmian persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno pada tahun lepas, Muhyiddin Yassin telah mencadangkan supaya pemilihan Umno 2016 tidak ditangguhkan tetapi cadangan timbalan presiden Umno itu tidak mendapat sebarang respon dari para perwakilan Umno. Ini bermakna Najib dijangka menangguhkan pemilihan Umno selepas PRU 2018.

Jika pemilihan Umno dikekalkan pada tahun hadapan dalam suasana kepimpinan Najib yang lemah sekarang, Muhyiddin yang paling layak menentang Najib bagi jawatan Presiden Umno.

Kenyataan Muhyiddin di Milan bahawa Umno perlu menyelesaikan isu 1MDB ditafsir oleh pemerhati politik sebagai tidak ngamnya Muhyiddin dengan Najib. Tetapi Najib menafikannya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno minggu kepas bahawa beliau sering berbincang dengan timbalannya.

Najib ketika berucap di Tawau minggu lepas mendakwa Mahathir kekal lama sebagai Presiden Umno kerana meminda perlembagaan Umno pada tahun 1988 yang mana setiap bahagian mencalonkan sesiapa bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mendapat 10 undi bonus. Ini menyebabkan penyandang jawatan sukar dicabar.

Najib meminda perlembagaan ini pada tahun 2009 dengan membuka sesiapa sahaja boleh mencabar pemimpin tertinggi Umno. Di atas kertas ya, tapi hakikatnya bukan mudah bagi pencabar jawatan presiden mahu mendapatkan pencalonan di bahagian kerana kalau dapat satu pencalonan dikira satu undi.

Perwakilan mana yang berani mengundi orang lain selain dari Najib dalam persidangan bahagian?

Ini bermakna pindaan perlembagaan yang dibuat Najib masih menguntungkan penyandang jawatan. Melainkan beliau pinda pencalonan setakat pencalonan dan bukannya dikira undi.

Lihat pada tahun 1987 bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Razaleigh Hamzah mendapat 37 pencalonan tetapi nyaris mengalahkan Mahathir yang menang dengan majoriti 43 undi.
Ini bermakna pencalonan yang banyak untuk Mahathir tidak menggambarkan sokongan sebenar kepada beliau.

Sebaliknya pindaan yang dibuat Najib lebih menguntungkan penyandang. Contohnya dalam pertandingan ketua pemuda, lima orang mengumumkan bertanding menentang Khairy Jamaluddin tetapi keempat empat pencabar lain seperti Syed Rosli Jamalulail dan empat lagi termasuk anak Sanusi Junid tidak mendapat sebarang pencalonan.

Justru itu Najib kalau dia anak jantan kena pinda sistem pemilihan 2009 kepada sistem pemilihan 1987 di mana dua pencalonan pun layak mencabar jawatan presiden Umno sepertimana Sulaiman Palestine mencabar Hussein Onn pada tahun 1978 dengan hanya mendapat dua pencalonan tetapi mendapat 250 undi yang memalukan Hussein Onn.

Jika sistem ini dipinda sesiapa sahaja boleh mencabar Najib pada tahun 2018 termasuk Tengku Razaleigh Hamzah.

Dengan kekalnya sistem sekarang, Muhyiddin pun tidak mampu mencabar Najib kerana perwakilan mana yang berani mengundi Muhyiddin untuk jawatan Presiden Umno kerana bahagian itu akan disenaraihitamkan oleh pucuk pimpinan parti.

Zaharin Mohd Yassin seorang aktivis Umno berpendapat selagi Majlis Tertinggi Umno menyokong Najib, Najib selamat.

Apa yang berlaku pada Pak Lah, kerana majlis tertinggi tidak menyokongnya lagi apabila Muhyiddin orang pertama mendesak Pak Lah berundur seleaps BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU 2008.

Malah dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno, Rafidah Aziz yang bersuara lantang mendesak Pak Lah meletakkan jawatan.

Tetapi dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno minggu lepas tidak ada seorang pun yang berani mendesak Najib berundur. Maka beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga rakyat menghukum BN pada PRU 2018.