Isnin, September 15, 2014
PAS SENGAJA PERLEKEH GELARAN USTAZ CALON BN
TUMPAT, 15 Sept (Bernama) -- Tindakan PAS memperlekehkan gelaran ustaz
pada Mat Razi Mat Ail disifatkan sebagai sengaja untuk menghina calon Barisan
Nasional (BN) kerana calon mereka bukan dalam kalangan ustaz pada pilihan raya
kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata tindakan PAS itu juga
menunjukkan kedangkalan parti itu tentang gelaran sebenar ustaz yang merujuk
kepada maksud sebagai tuan, guru, ketua ataupun profesor jika di Mesir.
"Tak perlu timbul masalah ini. Yang penting calon BN sendiri tidak pernah
mendakwa dirinya ustaz. Mungkin dia buka madrasah dan sebab itu dipanggil
masyarakat sekeliling sebagai ustaz.
"Artis-artis yang masuk PAS juga digelar ustaz dan ustazah...tidak ada siapa
pun nak mempertikaikannya," katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi
Telaga Bata di sini, hari ini.
Sebelum ini PAS mempertikaikan gelaran ustaz diberikan kepada Mat Razi yang
disifatkan tidak layak diberi gelaran itu kerana calon BN itu bukan seorang guru
agama sepenuh masa.
Fathul Bari mendakwa tindakan PAS itu juga sebenarnya bertujuan untuk
membunuh karektor calon BN.
"Ini semata-mata mahu membunuh karektor calon BN. Ini bukan cara Islam yang
sepatutnya kita bersaing secara sihat dan bukannya mengkritik gelaran itu atau
cara memakai jubah dan berkopiah calon BN ini," katanya.
Beliau berkata PAS perlu melihat kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk
Ahmad Yakob sebelum ini yang menyebut syarat menjadi menteri besar sendiri tidak
menyebut ia semestinya seorang ulama.
PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya
daripada BN, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 25 Ogos lepas akibat kanser
hati.
Mat Razi akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat
Bukhary Ismail Bukhary. Hari pengundian ditetapkan 25 Sept ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR
Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.
-- BERNAMA
ZBI AZE RHM