Isnin, September 15, 2014
HADI DAKWA PAS TAK BERANI SALAHGUNA WANG RAKYAT
TUMPAT, 15 Sept (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
mendakwa parti itu berjaya memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun kerana
pandai berjimat cermat dalam perbelanjaan.
Beliau berkata itulah rahsia pimpinan PAS di Kelantan yang menurutnya tidak
berani menyalahgunakan wang kerana bimbangkan dosa dan pahala.
"Inilah rahsianya, (pemimpin PAS) tidak terlibat dengan rasuah, tidak
terlibat dengan salah laku dan tidak terlibat dengan macam-macam lagi," katanya
dalam ceramah pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pengkalan Kubor di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini lewat malam tadi.
Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan tidak melakukan perkara yang salah dan
mendakwa hanya parti itu yang memperjuangkan agama Islam di negara ini yang
tidak memisahkan antara agama dan politik.
Beliau kemudian menggunakan pentas ceramah tersebut untuk mencaci Umno
dengan mengatakan anggota parti itu boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki
mereka kerana Umno memisahkan agama dan politik.
Walaupun sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan
menegaskan bahawa isu royalti minyak tidak harus dijadikan modal untuk berkempen
pada pilihan raya kecil ini kerana ia sudah menjadi kes mahkamah, namun Abdul
Hadi masih berdegil dan menyentuh perkara itu.
Pada PRK DUN Pengkalan Kubor, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail,
48, akan ditentang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat
Bukhary Ismail Bukhary, 47.
PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN Allahyarham Datuk Noor
Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR
Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.
Hari pengundian ditetapkan 25 Sept.
-- BERNAMA
RHO BD RHM