Rabu, Mei 21, 2014
KENALI PETANDA AWAL TEKANAN JIWA KATA PAKAR
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Jika individu atau anda sendiri mengalami
kemurungan tahap serius, mudah marah, bersedih dan selalu menyendiri
dinasihatkan supaya segera menjalani pemeriksaan kaunseling.
Beberapa kes sadis yang dilaporkan kebelakangan ini, antaranya
membabitkan penderaan, pembunuhan dan bunuh diri, dikaitkan para pakar
kaunseling dan psikiatri, sebagai mereka yang mengalami tekanan jiwa akibat
kegagalan mengawal kemurungan di peringkat awal.
Pakar Psikiatri Klinikal Hospital Pantai, Datuk Dr Mat Saad Baki berkata
rawatan atau kaunseling awal dilihat dapat membendung kejadian yang tidak
diingini.
"Jika seseorang itu tertekan dan mengalami kemurungan dia perlu merujuk
kepada doktor perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat seorang pakar psikiatri
dan kaunseling serta mendapatkan rawatan perubatan yang bersesuaian
jika ia diperlukan.
"Tahap kemurungan seseorang itu bergantung kepada empunya diri dalam
mengawal emosi dan perasaan, jika kemurungan melampau boleh menyebabkan individu
hilang pertimbangan diri dan akhirnya berlaku sesuatu yang tidak diduga,"
katanya kepada Bernama di sini.
Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan di Jabatan
Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin
Ahmad Zahari berkata masalah tekanan jiwa boleh dibendung daripada menjadi lebih
parah, sekiranya orang ramai mampu mengenali petanda awal seseorang individu itu
mengalami tekanan jiwa melalui karakter mereka.
Katanya, rakan-rakan serta ahli keluarga terdekat perlu melihat perubahan
dalam kelakuan mereka.
"Contohnya, sebelum ini seseorang itu bersikap tenang, namun berubah menjadi
pemarah serta pergaulan mereka yang membawa ke arah kemurungan yang
dikategorikan pada tahap yang lebih serius.
"Cara terbaik adalah untuk bertanya individu itu dan menjadi lebih
ingin tahu serta berbincang dengan mereka," katanya.
Beliau berkata masyarakat perlu lebih sensitif dan memujuk mereka untuk
menjelaskan masalah atau tekanan yang tidak dapat diselesaikan (sekiranya
ditangani berseorangan), serta perlu bertanyakan kepada orang lain untuk
mendapatkan bantuan mahupun pandangan.
Katanya, mereka perlu mendapat bantuan dan rawatan awal dan mengelak
daripada memiliki perasaan malu, lemah dan merisaukan persepsi awam sebelum
masalah itu menghantui pemikiran mereka.
"Cuba yakinkan individu itu untuk membantu menyelesaikan masalah yang
dipendam dengan membawa mereka berjumpa dengan pakar yang bersesuaian," katanya.
Beberapa kejadian sadis dikaitan dengan masalah tekanan jiwa, antaranya
pada 30 Jan lepas, seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental,
mengelar mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua
lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.
Pada 28 Mac 2013, seorang lelaki ditemui mati tergantung di
sebuah rumah di Kampung Perting, Bentong dipercayai mengalami tekanan jiwa
selepas kematian ibunya empat tahun lepas.
Pada 2 Feb 2012, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mati
akibat ditekup dengan bantal oleh neneknya berusia 57 tahun dipercayai sakit
mental di pangsapuri mereka di Puchong.
Pada 27 Nov 2011, seorang ibu berusia 75 tahun mati selepas lehernya dikelar
dengan pisau oleh anak perempuannya yang dipercayai mengalami tekanan mental di
rumah mereka di Taman Bukit Serdang.
-- BERNAMA
MAMA MAMY MS NH