Selasa, Disember 10, 2013

MUSA MAHU LEBIH RAMAI RAKYAT SABAH JADI PELAUT

KOTA KINABALU, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri menggesa penggiat industri maritim supaya mencari jalan untuk menggalakkan penduduk tempatan di Sabah dilatih sebagai pelaut pada masa depan. Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata banyak peluang tersedia dalam sektor perkapalan tidak disertai penduduk tempatan yang berkemungkinan tidak mengetahui peluang dan manfaat dalam industri berkenaan. "Sabah berkongsi aspirasi kerajaan supaya Malaysia menjadi negara maritim yang kukuh dan menyokong dasar bagi meningkatkan penyertaan negara dalam industri maritim "Lebih banyak perlu dilakukan untuk menggalakkan penyertaan rakyat Malaysia, khususnya dari Sabah, memiliki kapal-kapal yang didaftarkan di Malaysia dan merebut peluang yang tersedia dalam sektor pengangkutan maritim serta minyak dan gas," katanya ketika merasmikan seminar mengenai maritim Sabah di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun. Menurut Musa pantai Sabah seluas 1,440 kilometer dengan tiga lautan, menawarkan peluang besar dari sudut ekonomi. Beliau berkata laut memberi peluang pekerjaan dan sumber protein yang berharga selain minyak dan gas yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi. "Selain itu, sebahagian besar daripada perdagangan antarabangsa Malaysia, merupakan nadi bagi ekonomi negara, diangkut oleh kapal-kapal melalui pelabuhan utama di negara termasuk melalui pelabuhan di Kota Kinabalu, Kudat, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau di Sabah," katanya. Musa juga berkata kerajaan memberikan keutamaan kepada peranannya dalam melindungi sempadan maritim Sabah terhadap ancaman, membendung perdagangan haram seperti dadah dan penyeludupan manusia, dan mencegah kemasukan pendatang tanpa izin. "Penubuhan segera Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu untuk menghapuskan ancaman luar yang boleh merosakkan kedudukan sosial dan ekonomi serta boleh menggugat keselamatan negara, yang menjejaskan kedatangan pelabur," katanya. -- BERNAMA NAB NAB LAT