Jumaat, Disember 13, 2013

MB BUKAN ROBIN HOOD

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu disamakan dengan Robin Hood setelah menahan dua buah lori yang membawa roti Gardenia dan mengagihkan makanan itu kepada mangsa banjir yang terperangkap baru-baru ini. Ketika sesi penggulungan perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, Ahmad memberitahu, label itu menyebabkan beliau menerima kecaman dan banyak maklum balas berunsur negatif selepas insiden itu tersebar luas melalui blog dan laman sosial. "Saya nak betulkan keadaan, yang kata saya ini macam Robin Hood itu tak betul. Robin Hood ini dia rompak harta orang kaya untuk bagi kepada orang miskin tetapi saya bukan macam itu. "Dalam Islam 'Inna halaala bayyinun wa inna harooma bayyinun' (yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas). Bukan saya yang paksa dia (pemandu lori) buka... tetapi kami berbincang, ambil gambar buat bukti. "Saya nak bagi penjelasan ini sebab dalam blog timbul. Saya nak bayar sebab kita nak tolong orang dalam kesusahan. Kita ambil cara elok. "Tetapi, apabila saya hubungi pegawai yang berkenaan untuk dapatkan invois, mereka tak nak sebaliknya mereka cakap berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir," katanya yang kemudian membaca surat yang diterima daripada pengurusan syarikat tersebut kepada sidang DUN. Surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun antara lain menyebut bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan berbangga kerana diberi peluang berbuat demikian dalam keadaan memerlukan. Semalam Ahmad menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak pengurusan syarikat roti Gardenia yang enggan menerima bayaran sebaliknya menganggap ia sebagai sumbangan. Dalam insiden baru-baru ini beliau yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman meminta dua pemandu lori Gardenia mengagihkan bekalan untuk pasaran itu kepada orang ramai yang terkandas di Chendor tetapi mereka agak keberatan. ''Asalnya kita berbincang dengan pemandu yang pada awalnya tidak berani tetapi saya kemudian menghubungi pegawai pengurusan untuk membayar harga roti tersebut dan mereka membenarkannya," katanya. Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131213/dn_22/Jangan-samakan-saya-dengan-Robin-Hood---Ahmad#ixzz2nLaIsa68 © Utusan Melayu (M) Bhd