Selasa, Disember 17, 2013
ADUN ANGKAT SUMPAH DEPAN SPRM PEGANG AL QURAN TAHUN DEPAN
KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Mulai tahun hadapan anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan dikehendaki
mengangkat sumpah di hadapan SPRM dan Mufti selain memegang al-Quran.
Menyatakan demikian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata langkah ini
bertujuan untuk menentukan pembuat pengakuan berlaku jujur dan amanah dengan
tanggungjawab yang digalas.
"Jika mereka hendak lakukan juga (rasuah), itu terserah kepada mereka,
urusan dengan Allah, yang penting kita sudah beritahu bahaya rasuah, sudah bagi
penerangan dan langkah pencegahan yang perlu dilakukan," katanya.
Ahmad bercakap kepada pemberita pada Program Transformasi Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah rasuah kepada Anggota Dewan Undangan
Negeri (Adun) di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan tradisi untuk berhubung rapat
dengan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan taklimat SPRM hari ini akan
diperluaskan kepada pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan tidak lama
lagi.
Taklimat itu juga adalah sebagai komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam
menjalankan urusan pentadbiran dengan telus dan berintegriti untuk mengukuhkan
keyakinan rakyat terhadap sektor perkhidmatan awam.
Ahmad berkata beliau tidak mahu berlaku sebarang kesilapan di kalangan Adun
yang bakal menjerat diri mereka dalam perangkap rasuah akibat kesilapan kecil
dalam urusan pentadbiran harian.
"Hari ini banyak perkara disentuh, termasuk kuasa perundangan serta bentuk
kesalahan rasuah dan perkara-perkara yang boleh disabitkan sebagai ‘suapan’ yang
mudah berlaku dalam kehidupan seharian.
Taklimat kira-kira tiga jam itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Siasatan
SPRM, Datuk Mustafar Ali.
-- BERNAMA
KAK AZM RS