Khamis, November 07, 2013
TERENGGANU TARIK RM20.4 BILION MELALUI ECER
KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Sejak penubuhannya lima tahun lepas,
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik
pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion ke Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata ia
secara tidak langsung mewujudkan kira-kira 10,850 peluang pekerjaan untuk
rakyat tempatan dan 800 usahawan baharu di negeri itu.
"Pelabur, termasuk syarikat bertaraf global seperti Petronas (Malaysia),
Gevo dan Huntsman dari Amerika Syarikat, Arkema dari Perancis, CJ Cheiljedang
dari Korea Selatan dan Shougang Corporation dari China.
"Pelaburan awam dan swasta itu memacu momentum transformasi ekonomi di
Terengganu dan hasilnya, pendapatan rakyat telah meningkat dan seterusnya
membawa kepada peningkatan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita dalam
satu sesi taklimat khas hari ini sempena ulang tahun kelima penubuhan ECER di
Terengganu September lepas.
Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC, memperuntukkan RM1.11 bilion untuk
melaksanakan 41 projek ECER di Terengganu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK-9) dan RMK-10.
Pelaburan tersebut diluluskan bagi melaksanakan inisiatif pembangunan
infrastruktur dan sosial, yang bertujuan meningkatkan daya tarikan Terengganu
sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, sekali gus meningkatkan status
sosioekonomi rakyat.
Matlamat utama ECERDC, yang sentiasa berganding bahu dengan Kerajaan Negeri
Terengganu, ialah untuk menggerakkan transformasi ekonomi negeri, untuk manfaat
rakyat, katanya.
Beliau berkata projek pembangunan yang dirancang perlu memenuhi tiga
kriteria iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peningkatan
hasil isi rumah bagi penduduk setempat.
Di Terengganu, ECERDC kini melaksanakan pelbagai projek dan program yang
memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang terdapat di negeri ini seperti
minyak dan gas asli, bijih besi, pertanian dan pelancongan.
Beliau berkata pembangunan Taman Biopolimer Kertih (KBP), yang memberi fokus
pada sektor-sektor berkaitan bioteknologi, adalah bersifat saling melengkapi
dengan industri minyak dan gas di Terengganu.
"KBP merupakan lokasi bagi loji biometionina dan tiokimia bersepadu pertama
di dunia, yang akan melonjakkan kedudukan Terengganu sebagai pusat teknologi
baharu dan peneraju serantau dalam bidang biopenapisan.
"Terletak di kawasan seluas 70 hektar di KBP, projek bernilai RM2 bilion ini
merangkumi pembangunan loji biometionina milik syarikat CJ CheilJedang dari
Korea dan platform tiokimia milik syarikat Arkema dari Perancis," katanya.
Pembinaan sedang berjalan dan kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada
2014.
Apabila siap, kilang bersepadu tersebut akan muncul sebagai kemudahan
pertama di dunia menggunakan proses fermentasi dalam pengeluaran L-methionine,
sejenis asid amino yang digunakan untuk pengeluaran makanan untuk haiwan
ternakan.
Satu lagi penggerak industri bioteknologi yang telah memilih Terengganu
sebagai destinasi pelaburan mereka ialah Gevo, sebuah syarikat bahan kimia boleh
baharu dan biobahan api generasi baharu yang berpangkalan di Colorado,
Amerika Syarikat.
Jebasingam berkata Gevo merancang membina sebuah kilang pengeluaran
isobutanol berasaskan bio daripada biojisim lignocellulosic di KBP, yang akan
menjadikannya syarikat pertama mengeluarkan bahan tersebut daripada biojisim
lignocellulosic secara komersil, apabila kilangnya di Kertih mula beroperasi
kelak.
"Bagi kluster pertanian, ECERDC mengenal pasti Taman Bio Herba Pasir Raja
sebagai tapak penanaman komersil bagi 10 jenis herba bernilai tinggi yang
menjadi bahan mentah untuk pengeluaran produk farmaseutikal dan nutraseutikal
halal.
"Pembinaan prasarana asas, sedang giat dijalankan untuk menarik para pelabur
ke Taman Bio Herba tersebut dan ia dijangka siap pada akhir 2013," katanya.
Pada masa yang masa, ECERDC juga sedang membangunkan Pusat Pembiakbakaan dan
Inovasi Ternakan Biri-biri Kuala Berang, yang akan mula beroperasi pada awal
2014.
Sebuah syarikat peneraju akan dikenal pasti untuk menggerakkan industri
tersebut, khususnya melalui perkongsian teknologi dan amalan pertanian baharu
dan terkini dengan petani tempatan, yang akan dibimbing untuk menjadi petani
kontrak.
Beliau berkata selain itu, satu lagi projek strategik ECER ialah Taman
Industri Berat Kemaman (KHIP), yang dibangunkan untuk memanfaatkan sumber bijih
besi tempatan yang terdapat di negeri Terengganu.
"Taman industri ini akan memfokuskan kepada bidang fabrikasi besi dan keluli
untuk menyokong operasi huluan syarikat-syarikat minyak & gas utama di
Terengganu.
"Pelabur-pelabur terbesar KHIP ialah Eastern Steel, sebuah syarikat
usaha sama antara Hiap Tech Venture Berhad dari Malaysia dan Shougang
Corporation, yang merupakan sebuah syarikat Fortune 500 dari China," katanya.
Eastern Steel melabur RM1.8 bilion untuk membina kompleks kilang keluli
bersepadu di Teluk Kalung yang akan menggunakan teknologi baharu dalam industri
besi dan keluli.
Bagi kluster pelancongan, ECERDC melancarkan pembangunan Kuala Terengganu
City Centre (KTCC) pada 2011 bagi memperkukuh peranan dan kedudukan bandar Kuala
Terengganu sebagai Gerbang Pelancongan Timur di ECER.
Beliau berkata pelan induk KTCC meliputi beberapa komponen utama iaitu
pelancongan, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan kediaman, yang akan
mempertingkatkan daya tarikan bandar Kuala Terengganu sebagai pusat pelancongan
dan penginapan.
ECERDC juga akan membina sebuah jambatan gantung yang akan menghubungkan
Muara Selatan dan Muara Utara di bawah pembangunan KTCC.
Selain menjadi mercu tanda ikonik bagi sebuah bandar moden, jambatan
tersebut juga akan berfungsi sebagai sistem penyuraian trafik.
Katanya pembinaan jambatan ini akan bermula pada Januari 2014 dan
dijadualkan siap pada tahun 2016. Kerja-kerja pembinaan prasarana sedang
dilaksanakan di Muara Selatan dan dijadualkan siap bulan ini.
"KTCC Mall Sdn Bhd pula telah memberikan komitmen pelaburan berjumlah RM1
bilion untuk membina pusat membeli-belah, sebuah hotel 4-bintang dan 500 unit
suit perniagaan di KTCC.
"Pusat membeli-belah tersebut dijangka mula beroperasi pada akhir tahun
2014, sementara hotel dijangka siap pada hujung 2016," katanya.
Kini secara amnya, jurang kemiskinan antara Pantai Timur dan Pantai Barat
sudah bertambah baik menerusi pelancaran beberapa projek berimpak tinggi di
ECER.
"Sasaran kita tiada lagi kemiskinan tegar di Terengganu menjelang 2020,
pasti tercapai," katanya.
-- BERNAMA
KAK AZM LAT