Khamis, November 07, 2013

FELCRA PERLU ATASI CABARAN DALAMAN

,
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad perlu mengatasi pelbagai masalah dan cabaran dalamannya sebelum dapat melaksanakan transformasi yang berkesan. Pengerusinya Datuk Bung Moktar Radin berkata, punca masalah termasuk pentadbiran, pengurusan ladang kelapa sawit dan getah, kilang pemprosesan serta kebajikan para pengurus dan peserta akan dikenal pasti dan diselesaikan agar organisasi dapat merancang dan meningkatkan pendapatan sekali gus meluaskan rangkaian perniagaan. "Jika tidak ada kerjasama dan keberanian untuk melakukan perubahan positif, impak lebih buruk akan melanda Felcra. Justeru ia perlu diberi perhatian kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh 'tuan' kita iaitu kerajaan dan para peserta," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Pengerusi Felcra di sini hari ini. Kira-kira 400 petugas menghadiri majlis itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Ramlee Abu Bakar, ahli-ahli lembaga serta para pengurus Felcra. Katanya memandangkan harga komoditi getah dan kelapa sawit di pasaran mengalami penurunan, Felcra juga harus mencari jalan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan di dalam dan luar negara agar dapat terus bersaing dengan syarikat-syarikat milikan kerajaan (GLC) yang lain. Antara yang dirancang ialah penubuhan kilang baja di Terengganu, pembukaan ladang lembu di Australia dan getah di Kemboja serta perusahaan ladang jagung dengan usaha sama syarikat luar di Indonesia, selain merancakkan pembangunan hartanah seperti hotel dan rumah-rumah kedai. Felcra sehingga kini memiliki keluasan sebanyak 260,000 hektar tanah dalam negara. Dalam sidang medianya Bung Moktar berkata, Felcra dijangka menerima pendapatan kira-kira RM2 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun, hasil perniagaan bukan komoditi termasuk mineral bijih besi yang diperoleh melalui tanah milikan Felcra. Jelasnya, untuk membantu generasi baru pula, Unit Usahawan akan turut diperluas bagi membuka peluang kepada anak-anak muda Felcra menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS) dan berhasrat untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM1 juta, mulai tahun depan. -- BERNAMA RKMS KHY RAM