Sabtu, Jun 15, 2013

APA NAK JADI DENGAN UMNO?

Wanita UMNO Kelantan menyarankan supaya jawatan Ketua Wanita UMNO yang kini disandang oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut tidak dipertandingkan pada pemilihan parti hujung tahun ini. Pada masa sama, Ketuanya, Datin Rahimah Mohamad berkata, pergerakan itu mahu supaya semua petualang dan pengkhianat parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dibersihkan sebelum UMNO mengadakan pemilihannya. Rahimah berkata, kedua-dua perkara tersebut diputuskan pergerakan itu pada mesyuaratnya semalam dan disokong sebulat suara oleh ketua-ketua Wanita bahagian yang hadir. Katanya, Wanita UMNO negeri berpendapat, semua jawatan tertinggi dalam parti termasuk ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, tidak perlu dipertandingkan bagi menjamin keutuhan UMNO sebagai tunjang kerajaan. "Bila ada pertandingan akan ada masalah, jadi untuk mengelakkan perselisihan dalam UMNO maka sewajarnya jawatan tertinggi parti termasuk jawatan ketua-ketua sayap tidak dipertandingkan. "Wanita UMNO Kelantan yakin bila jawatan tertinggi dikekalkan, ia akan membantu kekuatan parti bagi menghadapi pakatan pembangkang dan cabaran mendatang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sebelum ini, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh dan cadangan itu disokong oleh banyak pihak. Mengulas 'pembersihan' petualang dan pengkhianat parti pada PRU-13 lalu, kata Rahimah, usaha itu perlu bagi memastikan UMNO benar-benar dianggotai individu yang ikhlas terhadap perjuangannya dalam membela dan mempertahankan agama, bangsa serta negara. Jelas beliau, kewujudan petualang dan pengkhianat dalam UMNO akan hanya menggugat masa depan parti orang Melayu terbesar itu dalam melaksanakan agenda perjuangannya. "UMNO perlu dipimpin dan dianggotai oleh mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya untuk menegakkan agama, bangsa dan negara. Jatuh bangun UMNO akan turut memberi kesan kepada kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri," katanya. Ulasan saya, apa nak jadi dengan UMNO ini? Selepas cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, kini ada pula cadangan supaya jawatan ketua wanita tidak dipertandingkan. Selepas ini jawatan ketua pemuda dan ketua puteri pula dicadangkan tidak bertanding. Kalau begini cara berfikir ahli UMNo, jangan bertanding semua jawatanlah termasuk naib presiden, ahli majlis tertinggi, exco pemuda, exco wanita dan exco puteri. Datin Rahimah tidak terfikir bahawa kes lembu Shahrizat yang menyebabkan BN gagal dapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum lalu? Kenapa pemimpin macam Shahrizat perlu dikekalkan kerana ia punca BN tak dapat majoriti dua pertiga. Dalam mengekalkan jawatan Sharizat rela jawatan Menteri Wanita diberi kepada PBB komponen BN dari Sarawak kerana bimbang Halimah Sidique dilantik sebagai menteri.